dupavisitometer

INSAN AGUNG, RAHMAT SEKALIAN ALAM.

Dipetik dari: ‘Sirah Muhammad Rasulullah SAW’ Susunan Hj. Mohd Rashad Shamsuddin Terbitan Al-Hidayah Publishers Cetakan Tahun 2000 (Halaman 522 & 523)
Berkatalah Rasulullah kepada bapa saudaranya, Abbas Bin Abdul Muttalib : ‘Wahai Abbas! Bawalah Abu Sufian ke sebuah lembah yang sempit di kemuncak gunung, supaya ia dapat melihat setiap anggota tentera Allah yang berlalu lepas di hadapan matanya’.
‘Aku turuti arahan itu lalu mengambil suatu sudut sementara Abu Sufian mengambil tempat di atas sebuah busut bukit menghala ke arah laluan lembah yang sempit. Satu demi satu pasukan ketumbukan tentera Islam berlepas lalu yang terdiri dari pasukan-pasukan Sulaim; Muzainah; Bani Ghifar;Bani Ka’ab; Kinanah;Juhain;dan lain-lain lagi. Rakanku itu (Abu Sufian) sekalipun kelihatannya bersahaja, namun tidak dapat menahan denyutan dan debaran dada melihat angkatan bala tentera yang begitu ceria dan hebat.
Sewaktu terlihat Kabilah Asyja, dia (Abu Sufian) meninggikan suara, dan berkata ‘Kabilah itulah yang paling kuat menentang Rasulullah jika dibandingkan dengan musuh-musuh lain!’ ‘Benar’ Kataku, ‘Tetapi Allah menurunkan rahmah dengan membuka hati mereka untuk menerima Islam!’
Akhir sekali, barulah Rasulullah kelihatan, yang dikelilingi oleh anggota tentera dan hulubalang peribadinya, seakan jambangan bunga merekah segar bergelar “Al-Khadra”(Hijau) kerana keseragaman kehijauan warna pakaian yang dipakai. Bagi Abu Sufian Bin Harb, ketika melihat semangat keperwiraan anggota pasukan tentera hulubalang dengan senjata hebat yang dimiliki, berkilauan dek sinar mentari; puncak ketakutan mula dirasakan.
“Ya Allah! Siapakah mereka itu, Wahai Abbas?”. “Itulah Rasulullah dengan sahabat-sahabatnya; Ansar dan Muhajirun. Sesungguhnya, tiada siapa yang boleh menentang tentera itu!” Kataku. “Sesungguhnya, Wahai Abbas!, Pagi ini, anak saudaramu itu begitu hebat, bagai Maharaja yang gemilang!” ulas Abu Sufian.

No comments:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...