dupavisitometer

PECAH DUA, DAN KEMUDIANNYA APA?

Kenapa dalam negeri kita ini, kalau kita mencari hiburan, kalau tidak menonton filem, kita akan ‘hadir’ ke majlis nyanyian (macam konsert tanpa mengira kecil, besar, mingguan ataupun bulanan). Pernahkah kita bertanya, kenapa kita hanya ada dua pilihan? Kenapa kita tiada ruang yang lebih luas dan lebih riuh-rendah untuk persembahan-persembahan hiburan alternatif seperti “stand-up comedy”, Dekon, baca puisi, muzik eksperimentasi, drama pentas/teater, joget lambak, majlis jual-beli pantun, persembahan syair, gurindam, wayang kulit, atau lain-lainnya, selain dari nyanyian dan filem? Adakah sudah tiba masanya selera seni kita sudah homogen, terperangkap hingga tiada cahaya dihujung terowong yang gelap? Kenapa ‘artis baru’ sekarang gelanggangnya hanya ada dua, kalau tidak buat album, dia mestilah berlakon filem/drama, baru dia diiktiraf artis baru? Dan kenapa pihak sokongan industri (Produser filem/album dan wartawan) semacam ikut khayal dengan definisi ini? Kalau berterusan, bagaimanakah caranya kita hendak melahirkan kreativiti baru dan mempertahankan cebis-cebis yang kita ada kini? Tahukah kita perkembangan hiburan alternatif yang lain dalam negeri ini? Jika jawapannya tidak, maka kita perlu berbuat sesuatu. Samada menerbit minat baru dalam diri kita atau membenarkan diri kita memilih sesuatu yang lain daripada dua yang diatas, terpulanglah. Maha penting, kita kena buat sesuatu. Bila industri hiburan kita ini terpecah kepada dua yang dominan, dan hiburan alternatif ini terpinggir, mungkin pada satu ketika, bila kita berjalan di kota-kota, dan kita berselisih bahu dengan 10 orang, 8 daripadanya adalah penyanyi/pelakon. Daripada 8 ini, 2 kita kenal kerana kualiti bakat yang dimiliki, dan lagi 6 lagi kita kenal kerana kualiti bakat yang dibuat-buat dan diangkat-angkat oleh publisiti murahan, tulisan-tulisan wartawan yang kurang jujur dan pujian lambung tak jatuh-jatuh oleh produser filem/albumnya. Sampai bila kita terus tertipu dengan hasil lakonan / nyanyian yang kurang dari jangkaan dan harapan kita, sedangkan kita tahu kita layak untuk cabang/kualiti hibur yang lebih baik? Sampai bila kita perlu menyokong cabang/kualiti hibur yang disogokkan kepada padahal minat dan keinginan kita pada sesuatu yang baru tidak pernah ditawarkan? Bila industri pening memikirkan kenapa filem/album tiada sambutan, sedangkan pernahkah mereka terfikir memang itu saja kumpulan sambutannya, sedangkan kumpulan lain memang tidak pernah menyambut. Mungkin kumpulan ini adalah kumpulan pendesak/pemerhati senyap yang kecewa dengan tindak-tanduk dan paras kreativiti industri sekarang dan mengharapkan mereka ada alternatif lain? Atau industri memang tidak pernah memikirkannya, dan kumpulan ini memang tidak pernah memerhati.

BOCOR, BOCOR DAN BOCOR LAGI

Awal cerita di Putrajaya, kemudian di Mahkamah, patah balik ke Putrajaya, langsung ke Parlimen, meruap ke mulut ahli parlimen (bocor lawak lucah, seksis), akhirnya Parlimen betul-betul bocor. Ada 15 tempat yang bocor. Kulat sudah bina koloni, dari jauh lensa kamera sudah nampak tompok-tompok hitam. Dulu sudah baik pulih, kos bukan sedikit, RM 90 juta. Lagi RM 10 juta genap RM 100 juta. Kalau tambah nilai pada kantung PTPTN, 8 generasi belajar percuma. Jadi tidaklah Pengarahnya yang kini duduk di tangga JUSA 1 tak nampak macam gila kuasa, gila kutip hutang, dan gila publisiti. Bila bagi orang menimba ilmu percuma, kubur-kubur menteri-menteri kabinet mana yang Islam, kami doakan dilapangkan seluas-luasnya, selagi tidaklah ia derhaka kepada Allah, Rasul, ibu dan bapanya, amin. Balik ke RM 90 juta. Ini selenggaraan kosmetik. Jari mana yang luluskan selenggaraan itu, sampai buta kayu nak sedar mana yang bocor. Kalau asyik jari jadi juri AF5, itulah jadinya. Mana boleh tak nampak, kecuali lepas ‘sign’, tidur. Orang yang waras, mana yang penting? Kosmetik atau bocor? Aku pilih bocor. Tapi kalau pentingkan kosmetik, maka memang betullah mereka-mereka ini agaknya mementingkan lagak, prestij, kelas dan perasaan perasan. Gah, memang Parlimen kena gah, menonjol dari bangunan-bangunan lain. Sebab di sini, perundangan dirangka, didebat, digubal dan diletakkan di batu jemala penguatkuasa. Disini, suara rakyat bergema melalui wakilnya. Satu kawasan Parlimen bukan sedikit jumlah suaranya. Tapi, se-gah mana pun, kalau air asyik menitik-nitik, nampak pincang. Kalau suara yang diwakilkan itu menjelma satu-satu, dan bersuara secara telus, pasti semuanya menolak selenggaraan kosmetik berbanding menampal bocor. Bocor dan kebocoran kini, musuh nombor satu, sebab ia adalah kesan-akibat. Akibat dari pihak yang berwajib kurang hormat dan alpa pada tanggungjawabnya. Mencegah lebih baik dari mengubat. Sekarang kita kena mengubat, apa kata sekarang kita cegah pula orang yang gagal mencegah dulu. Harga kegagalannya, mahal. RM 90 Juta, boleh bagi 8 generasi belajar percuma. Boleh bina rumah anak yatim. Boleh ‘upgrade’ sekolah-sekolah terpencil di Malaysia timur. Boleh buat dana bumiputera untuk berniaga. Boleh buat lebuhraya 4 lorong. Boleh buat subsidi minyak. Boleh itu, boleh ini, sebab Malaysia apa? Malaysia Boleh! Kalau kegagalan pencegahan ini ada unsur rasuah, dan kalau ‘involve party’ tidak bertaubat nasuha, dan kalau pegangan agamanya kuat, maka ia akan sedar, jarinya kelak akan bersuara dan jadi saksi di hadapan Juri Agung dan Hakim yang Maha Adil dan Maha Bijaksana. (Fakta dari Siaran Buletin Utama TV3, 17 Mei 07 @ 8.00 Malam)

ANGIN KENCANG BERTIUP KHABAR

Ini telah dibuktikan. Pilihanraya kita memang ganas. Semuanya terdesak, dan bila terdesak ada rusuhan adrenalin, semangat, dengki, khianat, dan kejujuran. Siapa yang memiliki sifat apa, tak dapat lah aku nak pastikan. Sebab dalam politik demokrasi, sentimennya banyak, strategisnya banyak, rahsia dan selinap-selinapnya pun banyak.
Barangkali, takhta Ijok tidak lama. Angin yang bertiup khabar kini semakin kencang. Mula-mula dari golongan yang tidak penting, kemudian merebak ke orang-orang yang digelar "Players". PM sudah bagi pantun, wakil rakyat sekarang jangan libang-libu jadi calon ke tidak untuk jadi wakil pemilihan akan datang. RTM sudah mula aktif siarkan rancangan arkib "Kawasan Saya". Selepas Ijok, RTM lagi sekali siarkan serangan politik saraf terhadap Keadilan, atau lebih tepat lagi kepada DSAI.
Warta perdana bercetak, sudah 3 kali cuba bagi "limelight" pada berita pemilihan umum. Ada teka-teki, teka-tekuk, yang perlu diselesaikan. Buai laju-laju, sampai pucuk atap, apa dalam baju, sampai malu kau nak singkap?.
Dulu, kesultanan Melayu Melaka, selalu mintak pandangan dan buah fikiran memanda menteri bila nak buat keputusan. Selalunya yang tak penting. Sebab kalau penting, aku pun tertanya, kenapa banyak keputusan sultan dalam hikayat, macam terburu-buru. kalau kurang periksa, boleh periksa dalam Sejarah Melayu, Hikayat Siak, dan Hikayat Raja Donan.
Kini, rakyat adalah raja. sebab dulu sultan lantik Memanda menteri. Maknanya, Memanda menteri adalah ketua eksekutif kepada negerinya. Sekarang, bila demokrasi, kuasa rakyat adalah kuasa raja. rakyat ada kuasa memilih ketua eksekutifnya.
Cuma, dulu raja mintak pandangan Memanda menteri bila nak buang undi, tapi sekarang, memanda menteri pulak yang pandai-pandai suruh "raja" tunggu bila nak buang undi. Bila dan siapa yang memulakan tradisi lapuk yang tak segan mati dek adat ini, tidaklah aku ketahui jua hingga kini.
Sekianlah dihikayatkan.

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...