ALHAMDULILLAH, bersyukur kita ke hadrat
Allah SWT yang memberi taufik dan inayah-Nya kepada kita semua sehingga
perhimpunan agung kali ke-62 ini sudah sampai ke penghujung. Bukan saja kita
akan berdepan dengan detik-detik terakhir perhimpunan ini, tetapi yang paling
penting persidangan pada kali ini telah dapat disempurnakan dengan begitu baik
dan jaya sekali.
Bagi saya elok saya mengucapkan terima kasih terlebih
dulu sebelum saya melanjutkan ucapan saya kepada semua yang telah menyumbang
kepada kejayaan perhimpunan kita ini. Tentu sekali ucapan terima kasih kepada
Datuk Pengerusi Tetap yang telah mempengerusikan persidangan ini dengan baik,
berselang lawak yang sungguh lucu hingga perwakilan tidak kering gusi dibuatnya.
Saya juga mengucapkan tahniah kepada Timbalan Pengerusi Tetap yang
membantu dengan cekap. Saya juga ingin melahirkan penghargaan kepada ibu
pejabat, kepada Setiausaha Agung kita, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor dan
Setiausaha Kerja. Saya juga mengucapkan terima kasih kepada kakitangan ibu
pejabat, pihak media, pihak keselamatan dan semua yang telah membantu agar
persidangan UMNO kita berjalan dengan licin.
Saya memanjat rasa syukur ke
hadrat Allah SWT kerana ucapan dasar saya sebagai Presiden UMNO telah mendapat
sambutan yang begitu positif. Saya amat menghargai Yang Amat Berhormat, Timbalan
Presiden yang memberi sokongan padu kepada ucapan saya.
Saya juga berasa
amat terharu bahawa setelah saya mengikuti ucapan-ucapan dalam sepanjang
persidangan UMNO kali ini, semua perwakilan memberi sokongan kepada ucapan dasar
saya.
Malah dua mantan Presiden UMNO kita, Tun Dr Mahathir Mohamad
menyokong dan memberi pandangan bahawa kronologi yang saya bentangkan dalam
ucapan itu berjaya membetulkan persepsi kononnya UMNO adalah parti
rasis.
Saya juga hendak merakamkan penghargaan kepada Yang Amat Bahagia,
Tun Abdullah Ahmad Badawi yang menyeru orang UMNO supaya terus memberi sokongan
kepada saya dan terharu beliau sanggup hadir sebagai Ketua UMNO Bahagian Kepala
Batas.
Kelmarin saya telah menyenarai beberapa tokoh tersohor yang banyak
berjasa kepada parti. Sudah tentu saya tidak mungkin dapat menyebut semua nama
yang telah memberi sumbangan besar kepada parti. Saya telah menghentikan sebutan
nama kepada jawatan Timbalan Presiden parti.
Namun saya telah menerima
beberapa SMS yang meminta saya memberi pengiktirafan kepada Tun (Datu) Mustafa
(Datu Harun) kerana beliau telah membubarkan USNO dan menjadi pengasas kepada
UMNO di Sabah.
Saya telah berfikir apakah agaknya harapan saya kepada
persidangan agung UMNO kali ke-62 ini. Tentu kalau kita buat sesuatu kerja, sama
ada kerja amal, kerja ilmu, kerja politik, kita mesti meletakkan beberapa
sasaran sama ada sasaran itu tersurat atau tersirat.
Saya hendak
berkongsi pada sidang perwakilan bahawa saya telah menetapkan empat sasaran yang
kalau tercapai maka persidangan ini boleh dianggap sebagai amat
berjaya.
Sasaran pertama saya agar persidangan ini menggambarkan UMNO
adalah parti bersatu dan ampuh barisannya, supaya bukan saja orang di dalam
dewan ini mempunyai gambaran itu tetapi juga berjuta-juta di luar yang melihat
melalui peti televisyen dan yang ada di dalam ruang luar
PWTC.
Pemerhati-pemerhati mestilah melihat bahawa UMNO sebagai satu
keluarga. UMNO sebagai satu organisasi politik, sebagai teras kepada politik
tanah air kita ini berada dalam keadaan kukuh dan padu.
Yang kedua, saya
hendak melalui persidangan ini sebab ramai menyebut kemungkinan persidangan ini
terakhir sebelum pilihan raya. Orang yang menyebutnya - menggambarkan bahawa
kita berada dalam keadaan kesiapsiagaan yang amat baik, bersedia untuk turun ke
medan bakti berjuang habis-habisan agar UMNO kembali sebagai parti bermaruah dan
bermartabat.
Yang ketiga saya ingin supaya melalui persidangan ini
kerajaan mendapat sokongan untuk membawa perubahan yang besar kepada negara yang
kita telah menggagaskan sebagai pelan transformasi nasional, mendapat mandat
yang sepenuhnya daripada sidang perwakilan pada kali ini.
Dan yang
keempat saya inginkan segala-gala yang menjadi perisian pada persidangan ini
memberi isyarat dan mesej yang amat jelas bahawa rakyat Malaysia seramai 12.4
juta pengundi dan 28 juta rakyat keseluruhannya meletakkan keyakinan bahawa UMNO
akan membawa negara kita dan rakyat Malaysia ke arah masa depan yang lebih
cemerlang. Mereka tidak akan kecewa kalau diletakkan pengharapan di atas bahu
dan jemala UMNO.
Bila rakan-rakan saya telah berucap tadi saya cuba
membuat penilaian, zaman sekarang ini zaman KPI (Indeks Prestasi Utama). Wakil
Sabah telah memberi KPI kepada saya tetapi saya nak sebut KPI dalam konteks
keempat-empat ini. Mungkin orang kata saya bias, saya presiden kepada parti,
tentulah saya akan memberi markah yang tinggi. Tetapi saya percaya sidang
perwakilan akan bersetuju dengan saya bahawa keempat-empat objektif itu telah
dicapai melalui persidangan kita pada kali ini.
Persidangan ini juga
adalah persidangan yang amat-amat bersejarah kerana kita tak terfikir lebih awal
lagi supaya di saat akhir persidangan ini ada satu ikrar atau pun baiah (sesuatu
yang) lebih kuat daripada ikrar dari perwakilan.
Timbalan Presiden telah
mengetuai ikrar dan baiah tadi. Terima kasih saya ucapkan kepada Timbalan
Presiden dan pada saudara sekalian, ikrar itu mencatat satu sejarah baru dalam
perjuangan parti kita.
Mari kita tinggalkan soal politik sebentar. Saya
bertanya kepada diri saya sebagai ketua kerajaan bersama-sama dengan rakan-rakan
saya, apakah agaknya objektif utama kalau orang bertanya ke arah mana kita nak
membawa negara kita.
Kalau orang bertanya dalam tahun-tahun mendatang
apakah di bawah kepemimpinan yang sedia ada ini apakah yang boleh mereka
harapkan. Sebab jangan lupa yang di luar itu sentiasa menilai kita. Secara
senyap mahupun secara terbuka tetap kita akan dinilai.
Saya tetapkan
bahawa kita ini ada dua objektif dan ini ada sangkut paut dengan UMNO, dengan
keinginan UMNO dengan perjuangan roh yang kita bawa ini. Yang pertama ialah kita
mesti membuat perancangan yang cukup rapi, cukup teliti cukup kemas supaya dalam
masa 10 tahun lagi, insya-Allah, Malaysia akan muncul sebagai sebuah negara maju
berpendapatan tinggi di bawah kepemimpinan UMNO dan Barisan Nasional.
Itu
pertama. Yang kedua dalam konteks negara maju itu kita mesti pastikan agenda
Melayu terlaksana dan orang Melayu juga berjaya dan dianggap sebagai bangsa yang
mencecah taraf bangsa yang maju.
Jadi siapa kata kita tak ada agenda
Melayu? Atau pun agenda Bumiputera memang kita ada. Apabila saya melaksanakan
Gagasan 1Malaysia, saya tak menyatakan ketepikan agenda Melayu Bumiputera.
Apabila saya turun ke bawah, ke ladang estet ke Kampung Baru Cina, bukan bererti
bahawa saya kurang komitmen untuk memperjuangkan kepentingan orang Melayu dan
Bumiputera. Saya melakukan perkara ini sebab kita mesti menentukan bahawa negara
Malaysia kita ini mendapat sokongan daripada semua kumpulan etnik kerana masa
depan UMNO juga bergantung kepada sokongan orang lain.
Sebab itulah
saudara sekalian kita melaksanakan bermacam-macam perkara untuk mencapai status
negara maju. Kita ada pelan transformasi ekonomi. Kita mengunjurkan kira-kira
RM1.3 trilion pelaburan dalam masa 10 tahun dan kita akan memastikan
pertumbuhan ekonomi 5-6 peratus setahun.
Kita sudah tentukan
projek-projek, apa jenis projek untuk mencapai taraf negara maju dan
Alhamdulillah dengan adanya pelancaran dan pelaksanaan sedemikian apabila
ekonomi Eropah merudum, apabila Amerika Syarikat berada dalam keadaan tidak
menentu, kita di Malaysia ini, Alhamdulillah ekonomi kita ini mapan
dan
stabil dan menunjuk pertumbuhan yang baik.
Di Amerika Syarikat,
apabila saya berjumpa dengan Presiden Barack Obama, dalam pemikiran beliau paras
pengangguran di negaranya sudah melebihi 9 peratus.
Saya boleh memaklumkan
kepada beliau, kita ada full employment di Malaysia Mr President.
Kalau
Amerika pertumbuhannya 1-2 peratus, saya boleh cakap, Mr President kita ada
pertumbuhan 5.8 percent last quarter.
Saya bangga sebab ini kejayaan
siapa? Kejayaan kepimpinan UMNO dalam negara ini. Ini bukan kejayaan saya secara
peribadi tetapi UMNO. Sekali lagi ia membuktikan bahawa ke atas UMNO dalam apa
juga keadaan rakyat boleh meletakkan harapan mereka. Saya setuju dengan apa yang
dikatakan Datuk Shafie, rakyat boleh trust in us to lead this nation sebab kita
tidak pernah mengecewakan rakyat, tidak pernah membohongi rakyat.
Apa
yang menjadi masalah ialah puak di sana (pembangkang). Mereka ini bukan kuat
sangat, tetapi pandai berkokok, dia berkokok kuat macam ayam, tetapi telurnya
satu saja, kadang-kadang tak bertelur pun.
Berkokok sana, berkokok sini,
bohong sana, bohong sini, tipu sini, tipu sana, fitnah sini, fitnah sana, bohong
tak berhenti bohong.
Lepas itu dia kata kamilah juara sedangkan parti
mereka sendiri kucar-kacir. Pembohongan yang terbesar dalam sejarah Malaysia
iaitu apa dia perwakilan sebut, kuat sikit 16 September, dia nak berarak ke
Putrajaya.
Dia boleh kata Yang di-Pertuan Agong menunggu mengangkat
sumpah dia sebagai Perdana Menteri. Saya bersama Pak Lah (Tun Abdullah) masa
itu, kita pun geleng kepala daripada mana dia bercakap ini.
Saya tanya
Yang di-Pertuan Agong, Yang di-Pertuan Agong pun geleng kepala, lepas itu dia
kata 30 orang kita bersedia menyeberang sebelah sana, kita pun seperti kata
orang nak play safe. Kepung dia (wakil rakyat), jaga dia. Tawaran ada tetapi
tiada seorang pun Ahli Parlimen kita yang menyeberang belah sana.
Dia
janji bermacam-macam jawatan, tetapi dia pandai, dia gunakan orang ketiga, orang
kata third party untuk menyampaikan berita, satu proses yang tidak demokratik,
lepas itu dia berkata tentera Malaysia berada di belakang dia.
Panglima
Angkatan Tentera Malaysia (ketika itu), (Jeneral) Tan Sri Aziz Zainal menyokong
dia, saya kawan baik dia. Saya tahu dia setia dan taat kepada kerajaan. Ini
pembohongan terbesar dalam sejarah. Lagi apa, banyak lagi, dia serang saya,
fitnah saya tiga tahun tak habis-habis. Tak cukup saya, isteri saya pun dia
serang, isteri saya yang duduk diam-diam itu pun kena serang juga.
Saya
sudah bersumpah di atas nama Allah di masjid. Sebanyak empat kali saya
bersumpah. Saya nak tanya dia, berapa kali dia bersumpah? Ada dia bersumpah
dalam masjid, ada dia bersumpah di luar masjid, ada dia junjung al-Quran, di
mahkamah pun dia tak berani bersumpah, masuk dalam kandang orang bersalah tak
berani bersumpah, buat kenyataan politik tapi ini bukan soal politik.
Ini
bukan kes kita lawan dia, ini kes (Ahmad) Saiful (Bukhari Azlan) lawan dia, itu
saja. Tidak ada kena-mengena dengan UMNO. Siapa pilih Saiful? Lain itu dot...,
dot..., dot..., banyak lagi cerita sebenarnya, Datuk Pengerusi banyak
lagi.
Ini saya kata, macam ini ke orang nak jadi Perdana Menteri, banyak
lagi bab lain boleh cerita. Kita tengok parti itu, dahlah parti anak-beranak
yang sudah saya sentuh perkara itu.
Lepas itu, parti ini dia mencatat
sejarah dunia saya rasa, sebab parti yang ramai sekali keluar daripada parti.
Saya sudah buat semakan enam Ahli Parlimen, lima ADUN, timbalan presiden, naib
presiden, setiausaha agung, ahli majlis tertinggi, tak cukup dengan itu peguam
peribadi pun sudah keluar jadi Bebas.
Pengerusi DAP jadi peguam dia
sekarang, segala rahsia dia pada DAP sekarang ini, betul tak? Peguam tentu tahu
segala-galanya. Rahsia dia dengan DAP, DAP ada segala-galanya, sebab itu dia
yang berkepak, sebab semua dalam tangan dia.
Dia sebut demokrasi. Ada
demokrasi ke dalam parti dia? Saya tahu baling kerusi ada, kalau ada demokrasi
takkan Datuk Zaid Ibrahim nak bertanding kata tak boleh. Dia tidak tak tahan
lagi sebab apabila bilang undi, undi itu lebih daripada
perwakilan.
Selepas itu tak tebal muka ini, dia apa nama, pilihan raya
kita pun dia kata tak betul. Bila masa mengundi itu, pembangkang ada dalam
tempat mengundi. Dia ada kita pun ada. Kalau kita boleh manipulasi peti undi
(sudah tentu keputusannya) seperti zaman Hosni Mubarak di Mesir yang boleh
mendapat 95 peratus.
Kalau kita boleh manipulasi peti undi ini, tuan-tuan
dan puan-puan, adakah kita nak melepaskan Selangor di tangan mereka? Ingat kita
nak biarkan negeri-negeri lain lepas ke tangan mereka, ingat kita nak biarkan
Kelantan 21 tahun di bawah PAS? Tentu tidak.
Kita bukan penipu, kita buat
cara yang jujur tetapi mereka menganjurkan BERSIH 2, berarak. Kita bagi stadium,
tak nak stadium sebab apa, sebab skrip dah ada dah. Skrip sudah ada, skrip Mat
Sabu (Timbalan Presiden PAS Mohamad Sabu) sudah ada, skrip dia masuk apa nama
hospital sudah ada.
Ada orang kata ini boleh menang Oscar Hollywood,
sudah siap skrip itu, siap diatur masuk ke dalam hospital terlentang dengan
memakai baju kuning. Kalau masuk hospital gantilah baju tetapi tidak. Ini semua
penipuan. Sebenarnya dia tidak kena apa-apa pun.
Saya memberitahu Datuk
Seri Hishamuddin Hussein (Menteri Dalam Negeri) jangan usik dia. Polis tak usik
dia pun, tapi dia buat macam sudah kena belasah. Tak kena pun, orang tak jentik
dia pun, tapi skripnya sudah siap. Dimasukkan dalam Youtube nak tayang kepada
seluruh dunia kononnya kita mempunyai polis state (pemerintahan polis) di
Malaysia.
Selepas itu Mat Sabu berlakon lagi, terlanggar curb (pembendung
jalan), kata polis langgar. Saya bersetuju dengan apa yang dikatakan perwakilan
iaitu lagi banyak Mat Sabu bercakap. lagi untung kita.
Ini parti PAS ini.
Saya nak berkata parti PAS ini apa perkataannya, tahun sudah saya kata bangang.
Saya nak kata perkataan kedolai. Kedolai ini bahasa orang Pekan dia tahulah,
sebab dia tahu dia diperkudakan oleh DAP. Betul tak? Diperalatkan oleh
DAP.
Kalau perjuangannya atas nama Islam, tinggalkan daripada menjadi
rakan kepada parti DAP. Tetapi kerana nak kerusi (dia sanggup) berpakat. Ini
sebabnya saudara sekalian, 12 juta lebih pengundi yakinlah kalau ada pakatan
yang rapuh seperti ini yang tidak ikhlas sebenarnya, yang ada pendirian
bertentangan antara satu sama lain, kita tidak boleh menyerahkan negara yang
tercinta kepada mereka.
Saya nak menyentuh mengenai parti yang kita kasih
ini. Transformasi yang paling besar adalah transformasi pada diri kita.
Peristiwa Hijrah sudah berakhir, tetapi perubahan besar yang perlu kita lakukan
sekarang adalah pada diri kita sendiri.
Ujian terbesarnya adalah sejauh
mana apa yang kita perkatakan (pada perhimpunan ini), kita bawa ke kawasan. Kita
sudah berikrar. Kita balik ke kawasan, janganlah pula kita bersengketa. Kita
lihat muka ketua bahagian itu, janganlah ada rasa menyampah terhadapnya. Kalau
kita tengok ketua, tengok pada timbalan, jangan pula kata dia ini nak jawatan
saya.
Berilah kerjasama, berilah kasih sayang yang sejati kepada parti.
Kita mesti mempunyai semangat seperti Timbalan Presiden sebutkan tadi. Semangat
sepasukan! Sebab apabila kita buat seperti yang dulu, kita kalah kerana ada
orang UMNO yang mengkhianati perjuangan parti.
Kalau semuanya taat dan
setia insya-Allah kita boleh menang pada bila-bila masa.
Jadi selepas ini,
apabila kita pulang, kita pastikan barisan kita ini kukuh kerana tuan-tuan dan
puan-puan sekalian, kita berdepan dengan ujian yang paling
getir.
Beringatlah bahawa pilihan akan datang raya ini adalah paling
getir dalam sejarah tanah air.
Pilihan yang dihadapkan pada rakyat adalah
pilihan titik penentuan sama ada kita mahu melihat masa depan yang cerah,
benderang. Menyaksikan sebuah Malaysia yang maju dengan memilih UMNO dan Barisan
Nasional ataupun menempa jalan tragik, penuh kehancuran dengan memilih pakatan
pembangkang.
Beringatlah juga, pilihan bakal dibuat kali ini bukan saja
tentang UMNO dan Barisan Nasional tetapi kemuncak pada semua itu adalah untung
nasib umat Melayu serta rakyat Malaysia keseluruhannya.
Sama ada kita
melukut di tepi gantang atau kita terus mencipta kejayaan lagi. Kesimpulannya
UMNO kini telah kembali berada landasan yang betul.
Buktinya, kebangkitan
kita telah bermula dengan kemenangan di Bagan Pinang, diikuti Hulu Selangor,
Batu Sapi, Galas, Tenang, Merlimau dan Kerdau. Inilah petanda bahawa
transformasi parti secara besar-besaran telah pun bermula.
Lalu, pada
detik, saat dan ketika yang bersejarah ini, di dalam Dewan Merdeka penuh
berkeramat ini, kita mengambil seruan dan pengajaran dari firman Allah SWT
bahawa hendaklah kita bersiap dan bersedia dengan segala kekuatan yang
ada.
Perlengkapkanlah diri masing-masing. Kita akan turun dan berangkat
ke medan juang sebagai satu saf yang padu. Sebagai satu pasukan kukuh. Sebagai
satu barisan kuat dan semangat yang ampuh.
Sejak berdekad-dekad lamanya,
berpuluh-puluh tahun tempohnya, kitalah parti yang membina nasib dan maruah umat
Melayu, mendorong denai kebangkitannya, menjadi tiang seri kekuatan bangsa
sebagai juragan intai penyelamat dunia.
Setelah mendaki, setelah baiah
dipertautkan, setelah ikrar dilafazkan, marilah bersama saya, marilah bersama
saya.
Pada saat dan detik ini, insaflah saudara saudari. Kalau kita leka,
kalau kita alpa, kalau kita lalai, kalau kita masih bersengketa, kehinaan bakal
tiba di muka pintu, tunggulah kehancuran. Maka terpampanglah Melayu merempat di
tanah sendiri.
Sejarah menyebut bahawa fitnah dan nista telah berupaya
melumpuhkan bangsa-bangsa.
Sekiranya perjalanan kita menempuh rintangan,
kita akan pasti mencari jalan. Sekiranya perjuangan ini digempur sejuta
halangan, kita pasti merempuh dengan penuh kecekalan.
Wahai orang UMNO,
dengan Allah kita berlindung, kepada Allah kita memohon, semoga bala dan musibah
ini tidak menimpa, semoga kita terus terpelihara, selagi UMNO terus di persada,
selagi semangat terus marak dan menyala.
Wahai orang UMNO, benteng parti
ini tetap perkukuh perjuangan ini, walau apa aral yang melintang, sekali-kali
kamu tinggalkan Bukit Uhud-Uhud ini, panji-panji mari kita kibarkan.
Alah
undur berpantang ajal, pertahankanlah ia, kendonglah ia, hingga kudrat yang
terakhir.
Ayuh! ayuh! ayuh!.. semua ke medan tarung. Insya-Allah
kemenangan pasti milik kita. Demi Islam! Demi Melayu! Demi Malaysia! Hidup UMNO!
Hidup UMNO! Hidup UMNO!