dupavisitometer

MASYARAKAT HIBURAN


Kini sudah banyak hiburan. Budaya hedonisma tahap tertinggi. Sia-sia dan tiada perlu. Kualiti artisnya tidak seberapa, dambaan peminat separuh gila. Buat ini demi peminat. Buat itu demi peminat. Tanpa peminat siapalah artis. Tanpa artis siapa pula peminat hendak puja-puja dan puji-puji ?

Malaysia ada kurang lebih 27 juta orang. Jumlah yang muncul dalam media sebab berlakon/bernyanyi/mengacara kurang dari 40'000 orang. Sikit sangat. Jadi, 27 juta orang ini dikatakan sangat dahaga pada hiburan. Berdasarkan kepercayaan ini, sebarang perbuatan amal, promosi, malahan kempen ditampal dengan hiburan walaupun secebis. Strateginya serampang dua mata, matlamat penganjur dipelihara disamping memberi peluang kepada golongan artis menyuburkan populariti.

Kelihatannya, kita sudah tiada medium lain. Hiburan sudah seperti barangan perlu, bukan lagi barangan penggenap mahupun pengganti. Peminatnya dilaung-laung sudah mencapai ke darjah fanatik, dan artisnya pula sudah sampai ke darjah Diva dan Lagenda. Realitinya, Diva hanya beberapa kerat dan Lagenda pun adalah juga beberapa kerat. Moral artis kita, boleh dipertikaikan. Tidak semua, tetapi rekod ada menunjukkan ada yang kena tangkap/hukum sebab mabuk, dadah, khalwat dan bermulut celupar. Ini semua rekod bagi yang tertangkap, yang belum tertangkap, hanya dirinya dan tuhan sahaja yang tahu.

Selalu kita dengar, janganlah serius dalam berbincang soal hiburan, kerana ini soal yang ringan dan ianya sekadar hiburan. Baik, aku terima pernyataan ini.

Cuma, sekali-sekala aku terfikir, hiburan dan medium-medium hiburan dalam negeri kini, kalau pun bukan 100% tapi aku percaya lebih 80% adalah berkulitkan hiburan luar negeri. Medium ini, iaitu majalah, radio, filem, fesyen dan TV kita hemogen dan hampir sama dengan medium luar negeri.

Barat, kalau ia percaya ini sesuatu yang ringan, mengapa medium-medium ini dipelihara, dibentuk, diberi dana sebaik mungkin? Kalau medium ini ringan disisi masyarakatnya, mengapa ia diakui dunia sebagai senjata paling ampuh untuk menyebarkan propaganda, unsur pensamarataan, rasa kebergantungan dan penyertaan kita pada hiburan? Jadi, adakah ini sesuatu yang ‘ringan’?

Maka, aku fikir, barangsiapa yang masih lagi berpegang pada dogma hiburan adalah sesuatu yang ringan, jelaslah yang ringan bukan hiburan itu semata-mata, tetapi otaknya pun ringan juga. Barangkali, dengan taakulan yang cermat dan separuh berat, mereka akan sedar dan tahu, bahawa hiburan itu jauh lebih besar dari majlis – majlis anugerah, dan jauh lebih berat dari peperangan.

No comments:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...