dupavisitometer

Showing posts with label personal. Show all posts
Showing posts with label personal. Show all posts

KEMBALI

Akhir entri blog ini, pada 29julai2015. kemudiannya terhenti sebab aku hiatus dah masuk 3 tahun. Mengembangkan diri. sudah tidak punya cabaran, sebab hampir keseluruhan cabaran hidupku yang terbesar aku hadapi ketika kembara di bumi emiratis tahun 2012. 

pelbagai yang dijalani, dirasai, dan meresap ke fikiran melalui jalan - jalan peristiwa, secara peribadi, dalam ruang lingkup komuniti atau yang lebih besar adalah umbang ambing negeri. 

ya, 2018 sudah tercatat sebagai peristiwa bersejarah negaraku Malaysia. Melalui lunas demokrasi, akhirnya rakyat memilih untuk menumbangkan kerajaan selama 61 tahun dan menggantikan dengan yang baru. sudah banyak yang tercatat dan yang mencatat letak duduk peristiwa ini. begitu banyak harapan, dan begitu banyak pengharapan. 

cinta kasihku pun sudah masuk darjah satu. sudah pun nak masuk ke darjah dua. Syukur aku masih ada untuk menyediakan apa saja untuk dia. tapi tidak sebesar pengorbanan bondanya. perempuan bekerjaya sekaligus seorang ibu. mendidik dan mengasuh anakku ini supaya menjadi seorang anak yang berguna kepada ibu bapanya kelak, insha'allah.

aku merindui setiap gurau senda dan masa - masa yang bermakna buat aku dulu, pada setiap petang cinta kasihku masuk ke dalam kereta Myvi BLU 5011 dan mencipta dunianya sendiri. ada ketikanya dia melawan naga dan beruang, ada ketikanya menjadi sang raja memimpin rakyatnya gula gula coklat. adakala dia berenang di lautan luas meneroka tanah tanah baru untuk taman permainan. menakjubkan pemikiran awal tumbesaran, sambil sambil menghilangkan tekanan kerja aku yang tidak kunjung sudah.

namun itu hanya tinggal kenangan, bila dia habis alam tadika, masuk pula ke alam baju putih seluar biru. masa kami berdua makin terbatas. di awal pagi dan lewat petang. sungguh rugi rasanya.

setiap waktu bersamanya, aku merasakan aku real dan benar dalam dunia ini, punya tujuan dan matlamat, yang seringkali hilang dan tenggelam dalam urusan urusan dunia yang karut dan marut. 

DS Najib: Ucapan Persidangan Akhir UMNO Sebelum Pru 13 (Teks Penuh)

ALHAMDULILLAH, bersyukur kita ke hadrat Allah SWT yang memberi taufik dan inayah-Nya kepada kita semua sehingga perhimpunan agung kali ke-62 ini sudah sampai ke penghujung. Bukan saja kita akan berdepan dengan detik-detik terakhir perhimpunan ini, tetapi yang paling penting persidangan pada kali ini telah dapat disempurnakan dengan begitu baik dan jaya sekali.

Bagi saya elok saya mengucapkan terima kasih terlebih dulu sebelum saya melanjutkan ucapan saya kepada semua yang telah menyumbang kepada kejayaan perhimpunan kita ini. Tentu sekali ucapan terima kasih kepada Datuk Pengerusi Tetap yang telah mempengerusikan persidangan ini dengan baik, berselang lawak yang sungguh lucu hingga perwakilan tidak kering gusi dibuatnya.

Saya juga mengucapkan tahniah kepada Timbalan Pengerusi Tetap yang membantu dengan cekap. Saya juga ingin melahirkan penghargaan kepada ibu pejabat, kepada Setiausaha Agung kita, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor dan Setiausaha Kerja. Saya juga mengucapkan terima kasih kepada kakitangan ibu pejabat, pihak media, pihak keselamatan dan semua yang telah membantu agar persidangan UMNO kita berjalan dengan licin.

Saya memanjat rasa syukur ke hadrat Allah SWT kerana ucapan dasar saya sebagai Presiden UMNO telah mendapat sambutan yang begitu positif. Saya amat menghargai Yang Amat Berhormat, Timbalan Presiden yang memberi sokongan padu kepada ucapan saya.

Saya juga berasa amat terharu bahawa setelah saya mengikuti ucapan-ucapan dalam sepanjang persidangan UMNO kali ini, semua perwakilan memberi sokongan kepada ucapan dasar saya.

Malah dua mantan Presiden UMNO kita, Tun Dr Mahathir Mohamad menyokong dan memberi pandangan bahawa kronologi yang saya bentangkan dalam ucapan itu berjaya membetulkan persepsi kononnya UMNO adalah parti rasis.

Saya juga hendak merakamkan penghargaan kepada Yang Amat Bahagia, Tun Abdullah Ahmad Badawi yang menyeru orang UMNO supaya terus memberi sokongan kepada saya dan terharu beliau sanggup hadir sebagai Ketua UMNO Bahagian Kepala Batas.
Kelmarin saya telah menyenarai beberapa tokoh tersohor yang banyak berjasa kepada parti. Sudah tentu saya tidak mungkin dapat menyebut semua nama yang telah memberi sumbangan besar kepada parti. Saya telah menghentikan sebutan nama kepada jawatan Timbalan Presiden parti.

Namun saya telah menerima beberapa SMS yang meminta saya memberi pengiktirafan kepada Tun (Datu) Mustafa (Datu Harun) kerana beliau telah membubarkan USNO dan menjadi pengasas kepada UMNO di Sabah.

Saya telah berfikir apakah agaknya harapan saya kepada persidangan agung UMNO kali ke-62 ini. Tentu kalau kita buat sesuatu kerja, sama ada kerja amal, kerja ilmu, kerja politik, kita mesti meletakkan beberapa sasaran sama ada sasaran itu tersurat atau tersirat.

Saya hendak berkongsi pada sidang perwakilan bahawa saya telah menetapkan empat sasaran yang kalau tercapai maka persidangan ini boleh dianggap sebagai amat berjaya.

Sasaran pertama saya agar persidangan ini menggambarkan UMNO adalah parti bersatu dan ampuh barisannya, supaya bukan saja orang di dalam dewan ini mempunyai gambaran itu tetapi juga berjuta-juta di luar yang melihat melalui peti televisyen dan yang ada di dalam ruang luar PWTC.

Pemerhati-pemerhati mestilah melihat bahawa UMNO sebagai satu keluarga. UMNO sebagai satu organisasi politik, sebagai teras kepada politik tanah air kita ini berada dalam keadaan kukuh dan padu.

Yang kedua, saya hendak melalui persidangan ini sebab ramai menyebut kemungkinan persidangan ini terakhir sebelum pilihan raya. Orang yang menyebutnya - menggambarkan bahawa kita berada dalam keadaan kesiapsiagaan yang amat baik, bersedia untuk turun ke medan bakti berjuang habis-habisan agar UMNO kembali sebagai parti bermaruah dan bermartabat.

Yang ketiga saya ingin supaya melalui persidangan ini kerajaan mendapat sokongan untuk membawa perubahan yang besar kepada negara yang kita telah menggagaskan sebagai pelan transformasi nasional, mendapat mandat yang sepenuhnya daripada sidang perwakilan pada kali ini.

Dan yang keempat saya inginkan segala-gala yang menjadi perisian pada persidangan ini memberi isyarat dan mesej yang amat jelas bahawa rakyat Malaysia seramai 12.4 juta pengundi dan 28 juta rakyat keseluruhannya meletakkan keyakinan bahawa UMNO akan membawa negara kita dan rakyat Malaysia ke arah masa depan yang lebih cemerlang. Mereka tidak akan kecewa kalau diletakkan pengharapan di atas bahu dan jemala UMNO.

Bila rakan-rakan saya telah berucap tadi saya cuba membuat penilaian, zaman sekarang ini zaman KPI (Indeks Prestasi Utama). Wakil Sabah telah memberi KPI kepada saya tetapi saya nak sebut KPI dalam konteks keempat-empat ini. Mungkin orang kata saya bias, saya presiden kepada parti, tentulah saya akan memberi markah yang tinggi. Tetapi saya percaya sidang perwakilan akan bersetuju dengan saya bahawa keempat-empat objektif itu telah dicapai melalui persidangan kita pada kali ini.

Persidangan ini juga adalah persidangan yang amat-amat bersejarah kerana kita tak terfikir lebih awal lagi supaya di saat akhir persidangan ini ada satu ikrar atau pun baiah (sesuatu yang) lebih kuat daripada ikrar dari perwakilan.

Timbalan Presiden telah mengetuai ikrar dan baiah tadi. Terima kasih saya ucapkan kepada Timbalan Presiden dan pada saudara sekalian, ikrar itu mencatat satu sejarah baru dalam perjuangan parti kita.

Mari kita tinggalkan soal politik sebentar. Saya bertanya kepada diri saya sebagai ketua kerajaan bersama-sama dengan rakan-rakan saya, apakah agaknya objektif utama kalau orang bertanya ke arah mana kita nak membawa negara kita.

Kalau orang bertanya dalam tahun-tahun mendatang apakah di bawah kepemimpinan yang sedia ada ini apakah yang boleh mereka harapkan. Sebab jangan lupa yang di luar itu sentiasa menilai kita. Secara senyap mahupun secara terbuka tetap kita akan dinilai.

Saya tetapkan bahawa kita ini ada dua objektif dan ini ada sangkut paut dengan UMNO, dengan keinginan UMNO dengan perjuangan roh yang kita bawa ini. Yang pertama ialah kita mesti membuat perancangan yang cukup rapi, cukup teliti cukup kemas supaya dalam masa 10 tahun lagi, insya-Allah, Malaysia akan muncul sebagai sebuah negara maju berpendapatan tinggi di bawah kepemimpinan UMNO dan Barisan Nasional.

Itu pertama. Yang kedua dalam konteks negara maju itu kita mesti pastikan agenda Melayu terlaksana dan orang Melayu juga berjaya dan dianggap sebagai bangsa yang mencecah taraf bangsa yang maju.

Jadi siapa kata kita tak ada agenda Melayu? Atau pun agenda Bumiputera memang kita ada. Apabila saya melaksanakan Gagasan 1Malaysia, saya tak menyatakan ketepikan agenda Melayu Bumiputera. Apabila saya turun ke bawah, ke ladang estet ke Kampung Baru Cina, bukan bererti bahawa saya kurang komitmen untuk memperjuangkan kepentingan orang Melayu dan Bumiputera. Saya melakukan perkara ini sebab kita mesti menentukan bahawa negara Malaysia kita ini mendapat sokongan daripada semua kumpulan etnik kerana masa depan UMNO juga bergantung kepada sokongan orang lain.

Sebab itulah saudara sekalian kita melaksanakan bermacam-macam perkara untuk mencapai status negara maju. Kita ada pelan transformasi ekonomi. Kita mengunjurkan kira-kira RM1.3 trilion pelaburan dalam masa 10 tahun dan kita akan memastikan pertumbuhan ekonomi 5-6 peratus setahun.

Kita sudah tentukan projek-projek, apa jenis projek untuk mencapai taraf negara maju dan Alhamdulillah dengan adanya pelancaran dan pelaksanaan sedemikian apabila ekonomi Eropah merudum, apabila Amerika Syarikat berada dalam keadaan tidak menentu, kita di Malaysia ini, Alhamdulillah ekonomi kita ini mapan dan
stabil dan menunjuk pertumbuhan yang baik.

Di Amerika Syarikat, apabila saya berjumpa dengan Presiden Barack Obama, dalam pemikiran beliau paras pengangguran di negaranya sudah melebihi 9 peratus.
Saya boleh memaklumkan kepada beliau, kita ada full employment di Malaysia Mr President.

Kalau Amerika pertumbuhannya 1-2 peratus, saya boleh cakap, Mr President kita ada pertumbuhan 5.8 percent last quarter.

Saya bangga sebab ini kejayaan siapa? Kejayaan kepimpinan UMNO dalam negara ini. Ini bukan kejayaan saya secara peribadi tetapi UMNO. Sekali lagi ia membuktikan bahawa ke atas UMNO dalam apa juga keadaan rakyat boleh meletakkan harapan mereka. Saya setuju dengan apa yang dikatakan Datuk Shafie, rakyat boleh trust in us to lead this nation sebab kita tidak pernah mengecewakan rakyat, tidak pernah membohongi rakyat.

Apa yang menjadi masalah ialah puak di sana (pembangkang). Mereka ini bukan kuat sangat, tetapi pandai berkokok, dia berkokok kuat macam ayam, tetapi telurnya satu saja, kadang-kadang tak bertelur pun.

Berkokok sana, berkokok sini, bohong sana, bohong sini, tipu sini, tipu sana, fitnah sini, fitnah sana, bohong tak berhenti bohong.

Lepas itu dia kata kamilah juara sedangkan parti mereka sendiri kucar-kacir. Pembohongan yang terbesar dalam sejarah Malaysia iaitu apa dia perwakilan sebut, kuat sikit 16 September, dia nak berarak ke Putrajaya.

Dia boleh kata Yang di-Pertuan Agong menunggu mengangkat sumpah dia sebagai Perdana Menteri. Saya bersama Pak Lah (Tun Abdullah) masa itu, kita pun geleng kepala daripada mana dia bercakap ini.

Saya tanya Yang di-Pertuan Agong, Yang di-Pertuan Agong pun geleng kepala, lepas itu dia kata 30 orang kita bersedia menyeberang sebelah sana, kita pun seperti kata orang nak play safe. Kepung dia (wakil rakyat), jaga dia. Tawaran ada tetapi tiada seorang pun Ahli Parlimen kita yang menyeberang belah sana.

Dia janji bermacam-macam jawatan, tetapi dia pandai, dia gunakan orang ketiga, orang kata third party untuk menyampaikan berita, satu proses yang tidak demokratik, lepas itu dia berkata tentera Malaysia berada di belakang dia.

Panglima Angkatan Tentera Malaysia (ketika itu), (Jeneral) Tan Sri Aziz Zainal menyokong dia, saya kawan baik dia. Saya tahu dia setia dan taat kepada kerajaan. Ini pembohongan terbesar dalam sejarah. Lagi apa, banyak lagi, dia serang saya, fitnah saya tiga tahun tak habis-habis. Tak cukup saya, isteri saya pun dia serang, isteri saya yang duduk diam-diam itu pun kena serang juga.

Saya sudah bersumpah di atas nama Allah di masjid. Sebanyak empat kali saya bersumpah. Saya nak tanya dia, berapa kali dia bersumpah? Ada dia bersumpah dalam masjid, ada dia bersumpah di luar masjid, ada dia junjung al-Quran, di mahkamah pun dia tak berani bersumpah, masuk dalam kandang orang bersalah tak berani bersumpah, buat kenyataan politik tapi ini bukan soal politik.

Ini bukan kes kita lawan dia, ini kes (Ahmad) Saiful (Bukhari Azlan) lawan dia, itu saja. Tidak ada kena-mengena dengan UMNO. Siapa pilih Saiful? Lain itu dot..., dot..., dot..., banyak lagi cerita sebenarnya, Datuk Pengerusi banyak lagi.

Ini saya kata, macam ini ke orang nak jadi Perdana Menteri, banyak lagi bab lain boleh cerita. Kita tengok parti itu, dahlah parti anak-beranak yang sudah saya sentuh perkara itu.

Lepas itu, parti ini dia mencatat sejarah dunia saya rasa, sebab parti yang ramai sekali keluar daripada parti. Saya sudah buat semakan enam Ahli Parlimen, lima ADUN, timbalan presiden, naib presiden, setiausaha agung, ahli majlis tertinggi, tak cukup dengan itu peguam peribadi pun sudah keluar jadi Bebas.

Pengerusi DAP jadi peguam dia sekarang, segala rahsia dia pada DAP sekarang ini, betul tak? Peguam tentu tahu segala-galanya. Rahsia dia dengan DAP, DAP ada segala-galanya, sebab itu dia yang berkepak, sebab semua dalam tangan dia.

Dia sebut demokrasi. Ada demokrasi ke dalam parti dia? Saya tahu baling kerusi ada, kalau ada demokrasi takkan Datuk Zaid Ibrahim nak bertanding kata tak boleh. Dia tidak tak tahan lagi sebab apabila bilang undi, undi itu lebih daripada perwakilan.

Selepas itu tak tebal muka ini, dia apa nama, pilihan raya kita pun dia kata tak betul. Bila masa mengundi itu, pembangkang ada dalam tempat mengundi. Dia ada kita pun ada. Kalau kita boleh manipulasi peti undi (sudah tentu keputusannya) seperti zaman Hosni Mubarak di Mesir yang boleh mendapat 95 peratus.

Kalau kita boleh manipulasi peti undi ini, tuan-tuan dan puan-puan, adakah kita nak melepaskan Selangor di tangan mereka? Ingat kita nak biarkan negeri-negeri lain lepas ke tangan mereka, ingat kita nak biarkan Kelantan 21 tahun di bawah PAS? Tentu tidak.

Kita bukan penipu, kita buat cara yang jujur tetapi mereka menganjurkan BERSIH 2, berarak. Kita bagi stadium, tak nak stadium sebab apa, sebab skrip dah ada dah. Skrip sudah ada, skrip Mat Sabu (Timbalan Presiden PAS Mohamad Sabu) sudah ada, skrip dia masuk apa nama hospital sudah ada.

Ada orang kata ini boleh menang Oscar Hollywood, sudah siap skrip itu, siap diatur masuk ke dalam hospital terlentang dengan memakai baju kuning. Kalau masuk hospital gantilah baju tetapi tidak. Ini semua penipuan. Sebenarnya dia tidak kena apa-apa pun.

Saya memberitahu Datuk Seri Hishamuddin Hussein (Menteri Dalam Negeri) jangan usik dia. Polis tak usik dia pun, tapi dia buat macam sudah kena belasah. Tak kena pun, orang tak jentik dia pun, tapi skripnya sudah siap. Dimasukkan dalam Youtube nak tayang kepada seluruh dunia kononnya kita mempunyai polis state (pemerintahan polis) di Malaysia.

Selepas itu Mat Sabu berlakon lagi, terlanggar curb (pembendung jalan), kata polis langgar. Saya bersetuju dengan apa yang dikatakan perwakilan iaitu lagi banyak Mat Sabu bercakap. lagi untung kita.

Ini parti PAS ini. Saya nak berkata parti PAS ini apa perkataannya, tahun sudah saya kata bangang. Saya nak kata perkataan kedolai. Kedolai ini bahasa orang Pekan dia tahulah, sebab dia tahu dia diperkudakan oleh DAP. Betul tak? Diperalatkan oleh DAP.

Kalau perjuangannya atas nama Islam, tinggalkan daripada menjadi rakan kepada parti DAP. Tetapi kerana nak kerusi (dia sanggup) berpakat. Ini sebabnya saudara sekalian, 12 juta lebih pengundi yakinlah kalau ada pakatan yang rapuh seperti ini yang tidak ikhlas sebenarnya, yang ada pendirian bertentangan antara satu sama lain, kita tidak boleh menyerahkan negara yang tercinta kepada mereka.

Saya nak menyentuh mengenai parti yang kita kasih ini. Transformasi yang paling besar adalah transformasi pada diri kita. Peristiwa Hijrah sudah berakhir, tetapi perubahan besar yang perlu kita lakukan sekarang adalah pada diri kita sendiri.

Ujian terbesarnya adalah sejauh mana apa yang kita perkatakan (pada perhimpunan ini), kita bawa ke kawasan. Kita sudah berikrar. Kita balik ke kawasan, janganlah pula kita bersengketa. Kita lihat muka ketua bahagian itu, janganlah ada rasa menyampah terhadapnya. Kalau kita tengok ketua, tengok pada timbalan, jangan pula kata dia ini nak jawatan saya.

Berilah kerjasama, berilah kasih sayang yang sejati kepada parti. Kita mesti mempunyai semangat seperti Timbalan Presiden sebutkan tadi. Semangat sepasukan! Sebab apabila kita buat seperti yang dulu, kita kalah kerana ada orang UMNO yang mengkhianati perjuangan parti.

Kalau semuanya taat dan setia insya-Allah kita boleh menang pada bila-bila masa.
Jadi selepas ini, apabila kita pulang, kita pastikan barisan kita ini kukuh kerana tuan-tuan dan puan-puan sekalian, kita berdepan dengan ujian yang paling getir.

Beringatlah bahawa pilihan akan datang raya ini adalah paling getir dalam sejarah tanah air.

Pilihan yang dihadapkan pada rakyat adalah pilihan titik penentuan sama ada kita mahu melihat masa depan yang cerah, benderang. Menyaksikan sebuah Malaysia yang maju dengan memilih UMNO dan Barisan Nasional ataupun menempa jalan tragik, penuh kehancuran dengan memilih pakatan pembangkang.

Beringatlah juga, pilihan bakal dibuat kali ini bukan saja tentang UMNO dan Barisan Nasional tetapi kemuncak pada semua itu adalah untung nasib umat Melayu serta rakyat Malaysia keseluruhannya.

Sama ada kita melukut di tepi gantang atau kita terus mencipta kejayaan lagi. Kesimpulannya UMNO kini telah kembali berada landasan yang betul.

Buktinya, kebangkitan kita telah bermula dengan kemenangan di Bagan Pinang, diikuti Hulu Selangor, Batu Sapi, Galas, Tenang, Merlimau dan Kerdau. Inilah petanda bahawa transformasi parti secara besar-besaran telah pun bermula.

Lalu, pada detik, saat dan ketika yang bersejarah ini, di dalam Dewan Merdeka penuh berkeramat ini, kita mengambil seruan dan pengajaran dari firman Allah SWT bahawa hendaklah kita bersiap dan bersedia dengan segala kekuatan yang ada.

Perlengkapkanlah diri masing-masing. Kita akan turun dan berangkat ke medan juang sebagai satu saf yang padu. Sebagai satu pasukan kukuh. Sebagai satu barisan kuat dan semangat yang ampuh.

Sejak berdekad-dekad lamanya, berpuluh-puluh tahun tempohnya, kitalah parti yang membina nasib dan maruah umat Melayu, mendorong denai kebangkitannya, menjadi tiang seri kekuatan bangsa sebagai juragan intai penyelamat dunia.

Setelah mendaki, setelah baiah dipertautkan, setelah ikrar dilafazkan, marilah bersama saya, marilah bersama saya.

Pada saat dan detik ini, insaflah saudara saudari. Kalau kita leka, kalau kita alpa, kalau kita lalai, kalau kita masih bersengketa, kehinaan bakal tiba di muka pintu, tunggulah kehancuran. Maka terpampanglah Melayu merempat di tanah sendiri.

Sejarah menyebut bahawa fitnah dan nista telah berupaya melumpuhkan bangsa-bangsa.

Sekiranya perjalanan kita menempuh rintangan, kita akan pasti mencari jalan. Sekiranya perjuangan ini digempur sejuta halangan, kita pasti merempuh dengan penuh kecekalan.

Wahai orang UMNO, dengan Allah kita berlindung, kepada Allah kita memohon, semoga bala dan musibah ini tidak menimpa, semoga kita terus terpelihara, selagi UMNO terus di persada, selagi semangat terus marak dan menyala.

Wahai orang UMNO, benteng parti ini tetap perkukuh perjuangan ini, walau apa aral yang melintang, sekali-kali kamu tinggalkan Bukit Uhud-Uhud ini, panji-panji mari kita kibarkan.

Alah undur berpantang ajal, pertahankanlah ia, kendonglah ia, hingga kudrat yang terakhir.

Ayuh! ayuh! ayuh!.. semua ke medan tarung. Insya-Allah kemenangan pasti milik kita. Demi Islam! Demi Melayu! Demi Malaysia! Hidup UMNO! Hidup UMNO! Hidup UMNO!

harussani

dulu, bila harussani fatwakan 'sure heboh' haram...orang-orang pas dah mula merasakan harussani dah 'geng' depa. perasaan 'satu geng' ini berlanjutanlah sampai ke kes 'pendedahan' murtad, dan sampailah bila PR menang di perak dan memerintah. sepatutnya, hubungan dan rasa  'geng sama geng' ini makin kuat dan daulah islami makin subur di bumi darul ridzuan, namun sebaliknya pula berlaku. hubungan harussani dan PAS semakin hari semakin pudar dan hambar, sampailah kerajaan PAS perak ditamatkan riwayatnya sepertimana yang kita tahu.

dan, apabila kerajaan BN memerintah balik, harussani semacam kembali ke lubuk empuk, dan hilang terus perasaan semangat perjuangan harmoni antara harussani dan PAS. secara logiknya, PAS dan harussani itu memang boleh 'ngam' dan 'satu kepala', namun takdir ALLAH itu nampaknya tidak menemukan mereka.


entah mengapa...harussani terus timbul dan konsisten dengan isu-isu murtad. malangnya, ramai yang pertikai isu yang dia timbulkan dan semuanya berpunca dari harussani sendiri, yang gagal menaiktarafkan tuduhan dan angka-angka murtad itu ke 'level' yang boleh dikira 'mutawattir'. benar atau tidak angka itu memadailah dengan sekadar air liur harussani sahaja. dan Alhamdulillah sekarang, harussani ada hassan ali untuk buat kerja-kerja jaga akidah ini, walaupun dia dan hassan ali nampaknya lagi ghairah nak 'tala' PAS dan berpolitik dengan PAS dari nak berusaha membasmi hal murtad dan hilang akidah ini. dan, dengan UMNO seakan-akan merestui dua jaguh murtad dan akidah ini, menimbulkan public approval bahawa harussani-hassan kini adalah sebahagian daripada belaan UMNO yang ramai itu.

dan paling baru, harussani nampaknya berhajat benar nak jemput nik aziz jadi lawan sparring dia kat dalam media, sampai dua-dua tak putus-putus berbalas jurus, walaupun tema dan tajuk besarnya ialah 'muzakarah PAS-UMNO'.

harussani bukan bodoh. dia boleh 'read between the lines', dia sedar yang PAS memang takda hati dah nak bermuzakarah dengan umno. dan dia jugak tahu, ini bukan masalah nik aziz degil atau nik aziz suka-suka nak letak syarat sebelum muzakarah. dia tahu nik aziz memang nak aniaya dia dengan 'syarat-syarat puteri gunung ledang' sebelum nak muzakarah dengan UMNO.

dan harussani jugak sedar, sedangkan dia yang bertaraf mufti dan salah seorang ahli majlis fatwa kebangsaan pun tak mampu nak menahan 'kejahilan dan kebutaan' UMNO pada Islam, apalah sangat nik aziz dan PAS boleh buat kalau setakat bermuzakarah dengan UMNO?

dan ini terus menimbulkan persoalan, kenapa harussani ni terus juga buat kerja tak berfaedah ni?

tahun ke-2

ulangtahun ke-2 (10/04)

yeay, it has been 2 years top. last year our hand quite full with adel. he just only 3 month plus, and we are busy taking care of his needs. and we still do. 

it is a long journey ahead. and time is running short. i have learned to appreciate now. hoping for the best for later. and picking up a lesson, whatever they may be, when we are at then.

you're my soulmate. you're my only friend with benefits. you have been quite well being my financial deputy director. you're my 2nd commander in chief, and as well as my partner in crime. 

i still remembered how nervous i am, on the same date, two years ago. but, somehow i knew then, you are the love of my life and everything seem perfectly in order. i know you'll make me a better man.

happy 2nd anniversary my dear love, Ummi Kalsum Binti Abdullah.

Thank you very much being such a lovely mother to Ahmad Adel Al-Kalbaani and wife to Muhamad Rosli Zainuddin.

Alhamdulillah, aku bersyukur ke hadrat-Mu Ya Allah, atas kurniaan nikmat yang telah engkau berikan. kasihanilah dan berkatilah keluarga kecil-ku ini Ya Allah, untuk kehidupan kami di dunia dan yang paling penting, kehidupan akhirat kami Ya Allah.


Orang Yang Bijaksana Ada Berpesan

Orang yang bijaksana ada berpesan
perbezaan antara lelaki dan perempuan
selalunya tentang hati dan perasaan
dan disitulah juga titik pertemuan

Umur Yang Ke 21 Tahun

pada lewat 2001, aku dan kawan-kawan melepak di satu kedai minum, pantai timur, bersebelahan pasar besar kuala kangsar. hingga ke hari ini, kedai itu masih disitu. kedai ini seakannya kunjungan tetap ex-cliffordian kerana itulah 'port' berkumpul, bersembang dan ketawa. pada zaman persekolahan hinggalah kekal sebagai tempatt berkumpul walau ketika itu ada yang mengaji di Universiti.
ketika itu rasanya universiti cuti semester.
Di pantai timur, ada kedai nasi lemak dan sate. bila sudah minum, terasa pula nak makan. aku bangun untuk memesan nasi lemak. sedang berkira-kira lauk apa, seorang pakcik awal 40-an beramah mesra dengan aku.
"anak umur berapa?" tanyanya. "21", aku menjawab.
"bagus, 21 adalah umur paling best dalam dunia", katanya lagi, terus berlalu.
aku hanya tersenyum, tanpa memikirkan sangat kata-katanya.
Kini, dihujung 20-an, aku kembali teringat akan kata-kata pakcik itu kembali.
benar, selepas umur-ku yang ke 21, masa berlalu terasakan pantas. hambatannya, terlalu pantas.

Tangguh

dengan ini sessi pembacaan risalah ditangguhkan.

Berhenti

Sudah tiba masanya, untuk aku berhenti mengharap.
Selebihnya, biarlah dalam ketentuan-Nya.

Ujian


Akan datang kepada-mu satu ujian. Yang mana tidaklah engkau tenggelam di dalamnya melainkan engkau sendiri memilih untuk tenggelam. Dan akan juga kepada-mu satu ujian kejiwaan, yang mana akan datang ke dalam jiwa-mu yang lembut gemalai itu satu kerusuhan dan gelora yang maha hebat.
Sedarlah, ujian itu didatangkan sesuai dengan keupayaan-mu untuk lalu dan menghadapinya dengan bijak. Mak ketikanya engkau merasakan engkau akan tertewas, maka tingkatkanlah ketabahan hati-mu, kerana hanyalah dengan hati yang teguh dan kukuh engkau dapat menenangkan fikiran dan tindakan.
Janganlah engkau hiraukan bingit-bingit orang-orang yang duduk melihatkan engkau, kerana mereka sebenarnya tidak pernah berbuat apa-apa untuk mengurangkan ujian yang didatangkan kepada-mu. Insafkanlah diri-mu, bahawasanya mereka tidak layak untuk ujian sebegitu, sebagaimana yang telah ditentukan untukmu, dengan kerana itulah mereka dijadikan hanya sekadar duduk-duduk dan riuh rendah yang mereka sendiri tidak mengerti untuk apa berbuatkan riuh-rendah itu.
Sesungguhnya, janganlah engkau cuba untuk mengharapkan orang lain untuk melalui ujian itu dengan sepenuh jaya, kerana dia tidakkan sanggup dan tidak pula mengerti untuk apa dan perlunya ia melalui ujian itu. Ujian itu didatangkan kepada-mu semata-mata hanyalah sebagai pengajaran dan pedoman untuk diri-mu sendiri.
jika ujian yang engkau lalui itu adalah disebabkan orang lain, maka sedarlah dengan sesungguh sedar, dia didatangkan kepada-mu dengan satu sebab dan bertanggungjawablah dengan sepenuh tanggungjawab untuk faham dan mengerti apakah sebab yang dimaksudkan. dengan hanya mengenal sebab, engkau akhirnya akan faham dan mengerti, dengan hati yang penuh tulus ikhlas.
kerana, tuhan-mu bertindak dalam rahsia, dan rahsia itu tidakkan terungkai dengan agak-agak, penolakan, pemberontakan dan putus asa kerana disitulah terletaknya rahsia dalam rahsia.

Bayangan Hipokrasi

Hipokrasi adalah penipuan. Penipuan yang bermatlamat. Hipokrasi, dalam bahasa mudahnya adalah cakap tak serupa bikin dan bikinan yang tidak serupa dengan percakapan.
Kita boleh menyaksikan pelbagai bentuk hipokrasi, bergantung dengan matlamat akhir si hipokrit.
Ada yang kita sangka adalah sebaik-baik insan, yang boleh kita kesan samada dari latarbelakang keluarga, keilmuan, keperibadiannya atau apa sahaja yang hendak kita tafsirkan rupa-rupanya adalah seorang yang hipokrit apabila kita melihat dia ditekan, dipengaruhi atau terbuai dengan matlamat yang telah dipilihnya sendiri, yang mana amat malang, matlamat itu sama sekali berlainan dengan sifat-sifat yang baik-baiknya tadi.
Maknanya, ia jadi hipokrit dengan sifat-sifat baiknya demi matlamatnya yang negatif. dan begitulah juga sebaliknya, ada yang hipokrit dengan sifat-sifat jahatnya demi matlamatnya yang baik. Namun, ini jarang-jarang sekali kita jumpa dewasa ini, kerana sifat masyarakat itu sendiri yang kagum, dan terpana dengan kebaikan-kebaikan yang digembar-gemburkan. Dan sudah lumrah di Malaysia ini, jarang perkara yang baik-baik terlepas dari lensa dan berita perdana, baik dari pihak kerajaan mahupun pembangkang.
dalam masyarakat yang dipanduarah oleh para-para politikus, adalah sesuatu yang mustahil untuk kita menafikan dan membutakan mata dan fikiran kita kepada amalan hipokrasi yang dilakukan oleh mereka.
Biarlah, walaupun politikus itu sah benar seorang hipokrit, sekurang-kurangnya ia membuat kebaikan. Begitukah caranya kita berfikir? Jika ya, why i'm not surprise...

Di Pondok Kecil

'Di Pondok Kecil' dan 'Sunnah Berjuang', adalah koleksi nasyid NadaMurni tatkala ia masih bergerak secara indie. Ya, sebelum bergerak secara mainstream, Raihan, Rabbani dan Hijjaz adalah satu kumpulan nasyid, dimana albumnya adalah koleksi hikmat sebahagian taliban-taliban sekolah-sekolah agama satu malaysia.
Terutamanya, bagi tuan punya blog, nasyid 'di pondok kecil'. Dari segi apapun, samada dari segi cara ia dilagukan, lirik, alunan suara, waima bak kata Ogy 'air lagunya' pun, nasyid ini berat dengan kesedihan yang pilu lagi memilukan.
Secara umumnya, lagu ini berkisarkan akan perasaan, perbualan dan kisah seorang abang yang cuba menenangkan si adik yang bersedih dengan kepergian ayahnya yang menyahut panggilan jihad.
Si ayah hanya meninggalkan pesan 'Jaga adikmu baik-baik, ayahkan pergi jauh. Diam-diamlah sayang, doakanlah ayah semoga diterima'. Si abang menenangkan si adik, dimana si abang memahami sungguh-sungguh akan keperluan dan nikmat berjuang menuju syahid, yang dituju si ayah.
Keluarga ini bukan keluarga kaya, mereka miskin. apabila si ayah pergi, tinggallah anak-anaknya di pondok kecil mereka, dipantai ombak, berbuih putih, dengan hati dan perasaan yang beralun-alun.
'Di Pondok kecil' - orginal version-
'Di Pondok Kecil' - Ae-Man feat Bazli UNIC (re-edit version)

Buat Apa bagi Pada Orang Yang Tak Tahu Guna

Lagi 2 minit sebelum azan Juma'at berkumandang, dua sahabat berbual-bual pasal kejadian pagi ju'maat, sebuah gereja di desa melawati dibakar. "ada dengar berita tadi? gereja kena bakar".- Tanya "ada, baca Fox News. Beritanya sikit, tuduhannya yang banyak".-Jawab "Isna(Islamic Society of Northern America) pun dah buat official statement suruh kerajaan Malaysia akur dengan keputusan mahkamah" -Jawab lagi. "Orang dah panas, tapi nampak macam provoke je". - Tanya "Jadi, abang apa komen pulak? Nak bagi ke tak bagi? Orang Islam banyak diam je nampaknya. Takut, ini dah masuk akidah. Orang Azhar ngan Jordan la kena terang." - Jawab "Apapun kata PAS, apapun UMNO nak buat aku tak kisah. Tapi aku tetap TAK SETUJU". - Tanya "Kenapa?" - Jawab "Kalau bagi pun, diorang tak tau nak guna".- Tanya Nota:- 1. KENYATAAN ISNA DALAM ISU KALIMAH "ALLAH" 2. Malaysia Church Set Ablaze Over Use of 'Allah'- FOX NEWS

Selamat Hari Lahir Sayang

Buat gadis kelahiran 03 Mac
Selamat hari lahir diucapkan.
Moga panjang umur
Moga memperoleh umur yang berkat
Moga dimurahkan rezeki
Moga pantas ketemu jodoh dengan aku
kerinduanku ini, setiap hari. [Entri 03 March 2009 - 'Level Of Confidence - Teruskan Membaca ]

Tentang Cinta

Cinta. Katanya ikatan kasih sayang. Antara dia dengan si dia yang lain. Katanya perasaan yang itu terpendam. Terlindung dan sukar dimengerti oleh mana yang tidak merasa, jelas dan faham bagi mana yang merasa. Bagi yang tidak merasa, semuanya tak tercapai akal, manakala bagi yang merasa semuanya tepat dan bermakna.

T.Alias Taib mengibaratkan cinta itu api kerinduan yang menyala-nyala didalam hati dan terpancar ke mata. Kehangatannya terasa di mana-mana.

Usman Awang mengibaratkan cinta itu syurga ilusi, yang bisa sahaja terpadam oleh realiti.

P.Ramlee kata cinta itu irama dan lagu, tak terpisah lagi. Bagi yang kesampaian, kebahagiaan terpercik ke merata bahagian. Bagi cinta yang tak kesampaian, yang berkecai-kecai itu tinggal kenangan.

Dia

Sesungguhnya, aku ingin nyatakan, untuk pertama kalinya, dan biarlah dia tahu, untuk pertama kalinya, bahawasanya aku suka, rindu dan sayang kepadanya setiap hari.
Selebihnya, terpulanglah kepada dia.

Hal Perut

Pandangan sekular jati, baik komunisme ataupun kapitalis, bersetuju, hal-hal perut perlu diutamakan dan diberatkan. Perut merupakan petunjuk agung kepada ekonomi yang teguh, dan sebab itu si Maslow itu perutnya besar menggelebeh.
Sesiapa yang mengabaikan perihal perut dan tuntutan-tuntutan perut, dirinya pasti terseksa. dengan seksa yang amat pedih. Kesan domino kenaikan harga minyak sudah mula dirasakan oleh perut tadi. Gula-gula rebetnya, nampak gayanya tidak bertahan lama. Sabar perut sabar, lagi kuat engkau berbunyi, lagi cepat kurus datang bertamu.

Selamat Hari Guru Dan Hargailah Ilmu

Tadi ada seorang sahabat lama,hantar SMS,katanya, "Weii..selamat hari guru", 'trick' nak suruh 'wish' la tu. Jadi, pada kesempatan ini, aku ucapkan Selamat Hari Guru, moga ada barkah dalam tugas guru-guru sekalian. Guru adalah satu-satunya pekerjaan dalam dunia ini yang pasti mempunyai waris. Ilmu yang diturunkannya, diwarisi dari satu generasi ke generasi. Syaratnya, kena ikhlas.
Juga buat guru-guru yang secara lantikan rasminya guru, dan juga yang bukan. Yang sekadar menjadi guru dengan pengiktirafan murid-murid. Guru-guru agama, guru-guru silat, guru-guru akaun, guru-guru perubatan tradisional, guru-guru buat rumah, guru-guru meruntuh rumah, guru-guru rumahtangga, guru-guru mahkamah, dan segala macam guru lagi, selamat hari guru.
Buat semua yang bergelar murid, hargailah ilmu sebaik-baik penghargaan. Ilmu itu budi. Ilmu itu penyuluh hidup. Ilmu itu kebebasan, dan ilmu itu jugalah penyelamat.
Khususnya, Cikgu Cipai, Cikgu Lan, Cikgu Kaze , Cikgu Stopa, Cikgu Anun (it Wasn't Me), Cikgu Suriani,Cikgu Fizi, dan Cikgu Duan (Guru Silat).

Dia Ibuku

Dengan Nama ALLAH Yang Maha Pemurah dan Yang Maha Penyayang. Untuk ibu-ibu seluruh dunia dan segenap bangsa, Selamat hari ibu.
Aku mengasihi ibuku ini sebetulnya bukan hari ini sahaja, malahan setiap detik nafasku ini aku hidup kerananya. Kerana belas kasihannya kepadaku sewaktu aku masih kecillah maka aku makan, minum, berfikir dan membesar dengan penuh kasih sayang dan rahmah, yang mana aku serahkan pada ALLAH saja untuk membalasnya dan merahmati ibuku ini dengan sebaik-baik rahmat.
Jika aku ingin membalas, dengan apa? apakah ada nilai yang setimpal? Kasih sayang yang ditumpahkannya sepanjang hidupku ini, apa taranya? apa penimbalnya? Dinar emas? Kereta? gelang-gelang emas berlian? Kalau benarlahlah itu semua, aku sendiri tidakkan sanggup untuk menimbangtara semua itu dengan kasih sayang dan pengorbanannya (Ya, ibuku sudah terlalu banyak berkorban, terlalu!).
Semua ibu-ibu itu dimata anaknya sama, yang paling jelita, yang paling baik hati, yang paling memahami, yang paling kaya, yang paling betul, dan yang paling pandai memasak dan berbagai-bagai paling lagi, kalau hendak disenangkan cerita.
Untuk Pn. Halila Bt. Md Desa, kami 5 beradik, kami mohon agar berbahagialah mak, Dengan Izin Allah Yang Maha Mengasihi, kerana di dunia ini, hanya pada mak sahajalah untuk kami menumpang kasih, hanya pada mak sahajalah kami adukan kesedihan kami, hanya pada mak sahajalah kami raikan kegembiraan kami.
Ya Allah Ya Rabbi, Ya Rahman, Ya Rahim, Ya Malikul-Mulk Ampunilah dosaku, dan dosa kedua ibu dan bapaku Dan Rahmatilah dan Kasihanilah mereka sebagaimana mereka merahmati dan mengasihani aku ketika aku kecil dahulu. Amin Ya Rabbil-Alamin

Sudah Berapa Lama 'Training'

Bayangkan begini, seorang pengembara ditanah gersang, dengan seekor kuda sebagai kenderaan, dan barangan keperluan untuk satu perjalanan yang panjang dan sukar, yang mana destinasi tujunya masih jauh. Dengan panahan terik mentari serta debu-debu pasir kasar yang berterbangan, pengembara membuat keputusan berhenti dan berehat dibawah pohon kurma. Ditakdirkan dia terlelap. Bila terbangun, gusarlah hatinya kerana kuda telah hilang bersama barangan keperluannya, kerana tidak ditambat. Bayangkan kegusaran hatinya, bayangkan ketidakupayaannya.
Dengan tidak semena-mena, kudanya pulang kepadanya dalam keadaan elok. Pengembara memanjatkan syukur. Kemudian, kisah ini disimpulkan dalam dua kiriman SMS yang berbunyi begini:
Kiriman Hantar:
" Ude, aku segan nak advance ngan lu de, tp aku emergncy la. Tayar depan & blkang aku pecah, rim patah. Motor ada kat shell O.U. Nk advance, berapa tu, ikut ikhlas hati lu la ude. Leh?"
Kiriman Terima:
" Ude, dah bank in RM xxx. ko dgn aku tak yah la segan2 ude. Kalo ko sesak, kalu aku leh tlg, aku tlg ko nye. Kita sdh bape lama training sarkas sama2".
Si pengembara dan si penghantar SMS pada ketika ini berkongsi perasaan yang sama, syukur..

INSAN AGUNG, RAHMAT SEKALIAN ALAM.

Dipetik dari: ‘Sirah Muhammad Rasulullah SAW’ Susunan Hj. Mohd Rashad Shamsuddin Terbitan Al-Hidayah Publishers Cetakan Tahun 2000 (Halaman 522 & 523)
Berkatalah Rasulullah kepada bapa saudaranya, Abbas Bin Abdul Muttalib : ‘Wahai Abbas! Bawalah Abu Sufian ke sebuah lembah yang sempit di kemuncak gunung, supaya ia dapat melihat setiap anggota tentera Allah yang berlalu lepas di hadapan matanya’.
‘Aku turuti arahan itu lalu mengambil suatu sudut sementara Abu Sufian mengambil tempat di atas sebuah busut bukit menghala ke arah laluan lembah yang sempit. Satu demi satu pasukan ketumbukan tentera Islam berlepas lalu yang terdiri dari pasukan-pasukan Sulaim; Muzainah; Bani Ghifar;Bani Ka’ab; Kinanah;Juhain;dan lain-lain lagi. Rakanku itu (Abu Sufian) sekalipun kelihatannya bersahaja, namun tidak dapat menahan denyutan dan debaran dada melihat angkatan bala tentera yang begitu ceria dan hebat.
Sewaktu terlihat Kabilah Asyja, dia (Abu Sufian) meninggikan suara, dan berkata ‘Kabilah itulah yang paling kuat menentang Rasulullah jika dibandingkan dengan musuh-musuh lain!’ ‘Benar’ Kataku, ‘Tetapi Allah menurunkan rahmah dengan membuka hati mereka untuk menerima Islam!’
Akhir sekali, barulah Rasulullah kelihatan, yang dikelilingi oleh anggota tentera dan hulubalang peribadinya, seakan jambangan bunga merekah segar bergelar “Al-Khadra”(Hijau) kerana keseragaman kehijauan warna pakaian yang dipakai. Bagi Abu Sufian Bin Harb, ketika melihat semangat keperwiraan anggota pasukan tentera hulubalang dengan senjata hebat yang dimiliki, berkilauan dek sinar mentari; puncak ketakutan mula dirasakan.
“Ya Allah! Siapakah mereka itu, Wahai Abbas?”. “Itulah Rasulullah dengan sahabat-sahabatnya; Ansar dan Muhajirun. Sesungguhnya, tiada siapa yang boleh menentang tentera itu!” Kataku. “Sesungguhnya, Wahai Abbas!, Pagi ini, anak saudaramu itu begitu hebat, bagai Maharaja yang gemilang!” ulas Abu Sufian.

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...