dupavisitometer

Idea Untuk Hidup

Aku pernah dengar orang cakap, kering duit boleh pinjam. Kalau kering idea?
Nak cari mana? Bila kena masanya kita hilang idea, kita akan jadi bangap, lembam, sugul, mandom dan semua-semua yang negatif. Betul, kering idea nak cari mana? nak pinjam kek sapo? kek lombu?
Baik sesiapapun, sentiasalah berdoa, jangan sampai kita terputus idea. Mohon pada tuhan, diberikan cahaya ilham. Kerjakan akal selumat-lumatnya untuk mengerah idea. Idea ini kadang-kadang macam tebu, kena perah, kalau tidak mana datangnya frasa "Brainstorming'? kadang-kadang macam angin, entah dari mana, tiba-tiba datang dan mendamaikan, tanpa pinta, tanpa periksa.
Aku bukan penulis, aku bukan insan seni, jadi idea padaku kurang penting. Di situ silapnya. Idea yang baik, membawa kepada kualiti hidup yang lebih baik. Idea ini adik-beradik kreativiti. kalau tidak, kenapa slogan jenama super PHILIPS "idea's for life"?
Percayalah, kehidupan kita kini bermula dengan idea orang lain yang inginkan hidup yang lebih baik, lebih sempurna dan lebih superior.
P/s: Kaki kelentong lagi banyak idea!

Kerja Itu Ibadah Dan Pengorbanan

Kerja itu Ibadah dan pengorbanan, dan aku mengerti dengan sebenar-benar erti. Kerja itu ibadah, kerna dengan kerja aku itulah aku punya rezeki untuk hidup. Dan, untuk Aidiladha kali ini, kerja ada definisi lain, kerja datang dengan pengorbanan. Aildiladha kali ini aku di Kuala Lumpur. Seorang. Masih lagi terdengar suara ibu yang amat aku rindui dihujung talian, yang memberikan maaf dan 'pelepasan' untuk aku tidak balik ke kampong. Aku: Orang kena standby la mak, lagipun orang bujang, memang kena standby. Mak: Abiss..bujang tak raye ke? cuti ada banyak lagi. Kenapa tak balik. Gaji bukannya dapat lebih pun. Aku: Ish, kerja tu kan ibadah, tanggungjawab. Mak jugak dulu yang ajar, tanggungjawab tu amanah. Lagipun kali ini aje. Kat kampung kan semua dah balik. Mak: Ye la, ye la, kamu aje yang takde. Kalo macam ni, kawin nanti bini kamu tah tahan ke tidak. Aku: Kawin? sapa yang nak kawin? Tak tahan tak payah kawin...Alaa, krismas nanti balik la.Sampai tahun depan. Mak aku faham, aku disini mengejar cita-cita.

Isnin

Bagi sesiapa yang bekerja, yang mencari rejki diatas bumi tuhan ini, yang dikatakan 'periuk nasi', yang dikatakan 'bread & butter', pasti ada rasa malas/jemu/benci/bosan/untuk melangkah ke hari Isnin. Sebab, mulai juma'at malam, sampai ke ahad malam, kita tidak terbeban dengan segala macam perkara yang melibatkan kita rasa benci, iaitu kerja. Kerja kita bukan mudah. Kerja kita ada disiplin, disiplin diri dan disiplin kerja. Kerja kita ada persekitaran, persekitaran emosi-dalaman-luaran kita sebagai individu, dan persekitaran emosi-dalaman-komuniti kerja kita sebagai elemen luaran. Kerja kita ada politik. Samada kita sebagai orang yang menguasai politik itu atau sebagai orang yang dikuasai olehnya. Kerja kita ini juga ada risiko, samada risiko jangkapendek atau risiko jangka panjang. Jangkapendeknya kena jerkah/marah/smash/backhand/dengan bos, dan jangkapanjangnya kena berhenti/buang kerja. Kerja kita juga ekonomi. Datang awal, balik tepat pada masanya. rugi tunggu lama-lama di kantor. Bukan kompeni mau bayar lebih. Semua ini terbeban. Dan dengan ini kita menghukum Isnin sebab Isnin adalah hari/tempoh/masa yang terhampir dengan beban ini dan juma'at merupakan hari terakhir untuk kita pikul beban ini. Selagi hidup, berterusanlah begini. Merungutlah kita, sampai kita mati.

Muay Thai Chaiya


Muay Thai Chaiya- Selain dari aksi Tomoi Chaiya yang berkeletup-keletup mematahkan tangan, kaki, dan tengkuk lawan, filem yang ditayangkan di Thailand 30 Ogos lalu menawarkan sesuatu yang lain. Filem ini meletakkan tomoi atas apapun alirannya, sebagai satu industri, industri hiburan, sukan dan disisi gelap, perjudian dan dunia jenayah bawah tanah.

Kata pengkritik, gerak Tomoi Chaiya yang dipersembahkan dalam filem ini bukan yang asli, seperti mana dalam filem Pahayut, kerana ada gerak-gerak asli lebih ganas dan lebih mencederakan. Gerak kaki Tomoi Chaiya juga jauh lebih kompleks dan mengelirukan berbanding apa yang ditonjolkan dalam filem ini.

Hai, rasanya apa yang ditunjuk dalam filem tu dah cukup ganas, cukup padu dan cukup mengkagum, rupa-rupanya tak cukup lagi.

Cerita ini lebih baik dari Ong-Bak, sebab ada pertarungan dalam gelanggang (by Law) dan pertarungan luar gelanggang (street Law). Gelanggang gelap selalunya diperhati dan disunting sebagai kaki-kaki pukul untuk kumpulan-kumpulan samseng. Disinilah persahabatan tiga sahabat Piak,Pao dan Samor teruji.

Dalam persimpangan yang maha kusut hingga tidak terjumpa jalan pulang.

"Tuan Tol" Dan "Lintah" - Anwar Ridhwan (AR)

Entah kenapa, sisipan Cerpen (Cerita Pendek) Berita Harian, siaran Ahad (9/12/07) menyiarkan dua cerpen karya Anwar Ridhwan, “Tuan Tol” dan “Lintah”. Satu di ruangan sastera dan satu lagi di suratkhabar sisipan. Bagi yang kurang kenal dengan tulisan-tulisan Anwar Ridhwan, cukuplah kalau kita sekadar mengenal “Hari-Hari Terakhir Seorang Seniman”. Satu novelette pilu seorang “Tok Selampit” yang hidupnya ketagih untuk bercerita yang akhirnya ditolak oleh masyarakat kerana “Tok Selampit” sudah ditinggalkan zaman, tewas dengan suasana baru dan kedahagaan hiburan bentuk baru. Dan apabila dua cerpen sinikal dengan pangkahan-pangkahan halus, refleksi untuk situasi politik-sosial terkini, cerita pendekya kali ini terasa segar dan tidak melebih-lebih. Tidak sarat dengan maklumat, tidak celaru dengan mainan emosi watak yang kadang-kadang banyak bermonolog dari bercerita. Ceritanya ringkas, kehidupan kita sehari-hari yang kadang-kadang terfikir juga aku, ceritanya kalau tidak dari AR sendiri, barangkali ini rakan-rakan terhampir atau masyarakatnya yang terhampir. Cari dan simpanlah keratan cerpen itu, untuk sebagai bukti kebobrokan kita dalam hal rasuah dan perkauman ini rupa-rupanya bukan salah sesiapa, tapi kepincangan kita untuk menghargai erti tanggungjawab dan kebenaran. Tanggungjawab kita sebagai seorang Melayu dan erti sebenar-benar erti kita sebagai seorang warganegara Malaysia.
Apabila HAMKA menulis novelet tersohor Indonesia, "Tenggelamnya Kapal Van Der Wjik", ramai pemuda-pemuda Indonesia waktu itu, samada melalui tulisan mahupun bertanya dengan tuan punya tubuh dengan soalan ini:- "Kisah yang tuan ceritakan ini, seakan-akan nasib yang menimpa saya..." "Barangkali kisah tuan ini, kisah tuan sendiri..." Memang secara naturalnya, seorang penulis tidak dapat tidak menulis melalui pengalaman, samada pengalaman dirinya sendiri mahupun pengalaman orang lain yang dianyam bersama-sama apa yang 3 perkara kita persetujui, iaitu bakat, kreativiti dan imaginasi. Inilah bendanya. Sama juga seperti karya-karya tersohor sasterawan negara kita, Shahnon Ahmad, Arenawati, A.samad said, Muhammad Haji Salleh, Pak Sako, Abdullah Hussain, puisi-puisi Usman Awang dan yang lain-lain, samada yang diperaku dengan gelaran dan anugerah ataupun hanya mendapat sanjungan rakyat.(Aku) Maka, dengan meneliti karya-karya besar dan klasik ini, kita bagaikan dapat meggambarkan realiti dan fantasi fragmen zaman yang dipersembahkan. semacam kita yang pula yang turut sama dalam cerita itu sebagai mata atau pencerita ketiga. Zamannya tidak jauh, kurang lebih 50 tahun yang dulu, dan isunya tetap sama, dalam skala kecil, kisah konflik individu-masyarakat ataupun dalam skala besar, konflik masyarakat-individu.Bunyinya saja yang sama, pengolahannya berbeza-beza dan lazat, berkadaran dengan 3 perkara yang kita persetujui tadi. Cubalah, dan rasakan keperitan, kemarahan, kepiluan, kegembiraan, dan keseimbangan modal insan, dalam watak-watak utama karya-karya besar-agung-klasik ini. Yang pasti, karya besar ini tiada tanding-taranya. Kalau kita lupa, dan aku selalu aku war-warkan ini...kalau boleh, barang sesiapa pun jua orang melayu diluar sana...bawakan aku satu, ataupun berpuluh-puluh puisi tentang cinta dan kekasih yang lebih tinggi penggunaan bahasanya, lebih terpacul nilai dramatiknya, lebih halus 'jiwa' kemelayuannya daripada puisi "Kekasih" oleh Usman Awang.

Jujur Dan Ikhlas

Jujur dan Ikhlas. Dua patah kata maksud dan katalaku yang murni. Jujur dan ikhlas tidak boleh dibuktikan dengan perbuatan, dan bukan sewenang-wenangnya diluah dengan kata-kata. Ianya sampai dengan niat dan dengan dengan niat itu ditafsir pula oleh pihak-pihak yang terkesan dengan niat itu. Kalau tafsirannya kurang jelas, maka niat yang jujur dan ikhlas itu ditafsir pula sebagai benda dan perilaku yang lain dan dalam keadaan yang ekstrem, negatif. Perbuatan jujur dan ikhlas adalah rahsia. Rahsia kepada sipembuat dan rahsia kepada sipenerima niat. Dalam politik, jujur dan ikhlas ini disisi gelap. Sebab memang secara semulajadinya, politik itu bersifat oportunis, dan antogonis. Memang pantang dalam politik, niat yang ikhlas itu benar-benar ikhlas, dan niat jujur itu adalah sebenar-benar jujur. Barangsiapa yang mengakui ini dalam kancah politik (dan lebih malang kalau ianya seorang politikus), maka ia tanpa sedar telah mebuka kelemahannya untuk sesuatu yang provokatif dan manipulatif. Dan ianya bukan latiff. Bukan latiff Borgiba. Itu dalam politik, dalam hidup dan percintaan, ianya jauh lebih kompleks. Niat jujur dan ikhlas, jika tidak sampai, emosi terjejas dan fikiran akan korup dengan prasangka.

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...