Awal cerita di Putrajaya, kemudian di Mahkamah, patah balik ke Putrajaya, langsung ke Parlimen, meruap ke mulut ahli parlimen (bocor lawak lucah, seksis), akhirnya Parlimen betul-betul bocor. Ada 15 tempat yang bocor. Kulat sudah bina koloni, dari jauh lensa kamera sudah nampak tompok-tompok hitam.
Dulu sudah baik pulih, kos bukan sedikit, RM 90 juta. Lagi RM 10 juta genap RM 100 juta. Kalau tambah nilai pada kantung PTPTN, 8 generasi belajar percuma. Jadi tidaklah Pengarahnya yang kini duduk di tangga JUSA 1 tak nampak macam gila kuasa, gila kutip hutang, dan gila publisiti. Bila bagi orang menimba ilmu percuma, kubur-kubur menteri-menteri kabinet mana yang Islam, kami doakan dilapangkan seluas-luasnya, selagi tidaklah ia derhaka kepada Allah, Rasul, ibu dan bapanya, amin.
Balik ke RM 90 juta. Ini selenggaraan kosmetik. Jari mana yang luluskan selenggaraan itu, sampai buta kayu nak sedar mana yang bocor. Kalau asyik jari jadi juri AF5, itulah jadinya. Mana boleh tak nampak, kecuali lepas ‘sign’, tidur. Orang yang waras, mana yang penting? Kosmetik atau bocor? Aku pilih bocor. Tapi kalau pentingkan kosmetik, maka memang betullah mereka-mereka ini agaknya mementingkan lagak, prestij, kelas dan perasaan perasan.
Gah, memang Parlimen kena gah, menonjol dari bangunan-bangunan lain. Sebab di sini, perundangan dirangka, didebat, digubal dan diletakkan di batu jemala penguatkuasa. Disini, suara rakyat bergema melalui wakilnya. Satu kawasan Parlimen bukan sedikit jumlah suaranya. Tapi, se-gah mana pun, kalau air asyik menitik-nitik, nampak pincang. Kalau suara yang diwakilkan itu menjelma satu-satu, dan bersuara secara telus, pasti semuanya menolak selenggaraan kosmetik berbanding menampal bocor.
Bocor dan kebocoran kini, musuh nombor satu, sebab ia adalah kesan-akibat. Akibat dari pihak yang berwajib kurang hormat dan alpa pada tanggungjawabnya. Mencegah lebih baik dari mengubat. Sekarang kita kena mengubat, apa kata sekarang kita cegah pula orang yang gagal mencegah dulu.
Harga kegagalannya, mahal. RM 90 Juta, boleh bagi 8 generasi belajar percuma. Boleh bina rumah anak yatim. Boleh ‘upgrade’ sekolah-sekolah terpencil di Malaysia timur. Boleh buat dana bumiputera untuk berniaga. Boleh buat lebuhraya 4 lorong. Boleh buat subsidi minyak. Boleh itu, boleh ini, sebab Malaysia apa? Malaysia Boleh!
Kalau kegagalan pencegahan ini ada unsur rasuah, dan kalau ‘involve party’ tidak bertaubat nasuha, dan kalau pegangan agamanya kuat, maka ia akan sedar, jarinya kelak akan bersuara dan jadi saksi di hadapan Juri Agung dan Hakim yang Maha Adil dan Maha Bijaksana.
(Fakta dari Siaran Buletin Utama TV3, 17 Mei 07 @ 8.00 Malam)
No comments:
Post a Comment