dupavisitometer

PECAH DUA, DAN KEMUDIANNYA APA?

Kenapa dalam negeri kita ini, kalau kita mencari hiburan, kalau tidak menonton filem, kita akan ‘hadir’ ke majlis nyanyian (macam konsert tanpa mengira kecil, besar, mingguan ataupun bulanan). Pernahkah kita bertanya, kenapa kita hanya ada dua pilihan? Kenapa kita tiada ruang yang lebih luas dan lebih riuh-rendah untuk persembahan-persembahan hiburan alternatif seperti “stand-up comedy”, Dekon, baca puisi, muzik eksperimentasi, drama pentas/teater, joget lambak, majlis jual-beli pantun, persembahan syair, gurindam, wayang kulit, atau lain-lainnya, selain dari nyanyian dan filem? Adakah sudah tiba masanya selera seni kita sudah homogen, terperangkap hingga tiada cahaya dihujung terowong yang gelap? Kenapa ‘artis baru’ sekarang gelanggangnya hanya ada dua, kalau tidak buat album, dia mestilah berlakon filem/drama, baru dia diiktiraf artis baru? Dan kenapa pihak sokongan industri (Produser filem/album dan wartawan) semacam ikut khayal dengan definisi ini? Kalau berterusan, bagaimanakah caranya kita hendak melahirkan kreativiti baru dan mempertahankan cebis-cebis yang kita ada kini? Tahukah kita perkembangan hiburan alternatif yang lain dalam negeri ini? Jika jawapannya tidak, maka kita perlu berbuat sesuatu. Samada menerbit minat baru dalam diri kita atau membenarkan diri kita memilih sesuatu yang lain daripada dua yang diatas, terpulanglah. Maha penting, kita kena buat sesuatu. Bila industri hiburan kita ini terpecah kepada dua yang dominan, dan hiburan alternatif ini terpinggir, mungkin pada satu ketika, bila kita berjalan di kota-kota, dan kita berselisih bahu dengan 10 orang, 8 daripadanya adalah penyanyi/pelakon. Daripada 8 ini, 2 kita kenal kerana kualiti bakat yang dimiliki, dan lagi 6 lagi kita kenal kerana kualiti bakat yang dibuat-buat dan diangkat-angkat oleh publisiti murahan, tulisan-tulisan wartawan yang kurang jujur dan pujian lambung tak jatuh-jatuh oleh produser filem/albumnya. Sampai bila kita terus tertipu dengan hasil lakonan / nyanyian yang kurang dari jangkaan dan harapan kita, sedangkan kita tahu kita layak untuk cabang/kualiti hibur yang lebih baik? Sampai bila kita perlu menyokong cabang/kualiti hibur yang disogokkan kepada padahal minat dan keinginan kita pada sesuatu yang baru tidak pernah ditawarkan? Bila industri pening memikirkan kenapa filem/album tiada sambutan, sedangkan pernahkah mereka terfikir memang itu saja kumpulan sambutannya, sedangkan kumpulan lain memang tidak pernah menyambut. Mungkin kumpulan ini adalah kumpulan pendesak/pemerhati senyap yang kecewa dengan tindak-tanduk dan paras kreativiti industri sekarang dan mengharapkan mereka ada alternatif lain? Atau industri memang tidak pernah memikirkannya, dan kumpulan ini memang tidak pernah memerhati.

No comments:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...