dupavisitometer

Ezam: Kelazatan UMNO

TV3 Semalam, ada menyiarkan secara langsung segmen khas wawancara tentang kemasukan semula Ezam ke UMNO. Kata Ezam, dia rujuk semula dengan UMNO kerana UMNO akhir-akhir ini dasarnya sudah pro-reform iaitu perubahan untuk masyarakat yang lebih adil dan bebas rasuah. Katanya lagi, dasar-dasar pembebasan BPR dan susunan semula integiriti institusi mahkamah semacam kena dengan istiqamah perjuangannya selama ini.
Ezam memang pucuk padi Anwar Ibrahim, sama juga dengan Azmin Ali dan Saifuddin Nasution. Gerak geri dan gerak ucap setiap mereka saling tak tumpah seperti Anwar Ibrahim. Intonasi, harkat, dan balaghah ucapan-ucapan mereka memang sama. Ditiru baik. Semasa Ezam membuat pengisytiharan itu, umum sedia maklum (kecuali UMNO) dia bukan PKR. Dia NGO GERAK. Sepatutnya, tiada yang berbeza cara menyambut kemasukan Ezam itu dengan seorang pemuda dari Kampung Cherok masuk UMNO. Sama sahaja. Tiada yang berbeza. Itu sepatutnya. Tetapi layanan Ezam ini istimewa. PM sendiri mengumumkannya.
Mereka ini, Mahathir, Anwar dan Ezam, pernah bercerai dengan UMNO. Mahathir rujuk, kemudian cerai balik. Anwar setakat ini masih berkerat rotan. Ezam sudah rujuk kembali. Apa istimewanya UMNO ini? Apa jenis kelazatan yang ada pada UMNO? Keramat sangatkah UMNO?
Umno satu wadah perjuangan orang Melayu yang tahan uji. Tempoh perjuanganya panjang, selama 50 tahun. Tetapi, setakat ini, ujian getir UMNO hanya berpunca daripada konflik dalaman. Ketua sama ketua bergesel, bina puak dan lawan. Yang menang bertahan, yang kalah bercerai. Kemudian, yakinkan kembali mana yang telah robek semangatnya dalam pertarungan itu, yang menang akan menjaga mereka dan kepentingan mereka. Ujian yang datang hanya dalam bentuk konflik dan krisis kepimpinan. Namun, mereka kata mereka tetap bersatu. Dari segi kata. Rohnya? Boleh dipertikaikan lagi.
Ada satu lagi parti yang menjadi wadah perjuangan orang Melayu sama lama dengan UMNO dan juga tahan uji, iaitu PAS. PAS ujiannya dari luar. Dari persekitaran. Bila ujian ini berbentuk persekitaran, ianya pasti pelbagai. Perancangan musuh satu hal. Perancangan penyokong musuh satu hal. Perancangan rakan bersekutu musuh satu hal. Berkat istiqamah dalam berjuang, mereka dapat durian runtuh dalam PRU 12. Agak pelik, roh perpaduan dan kesatuan perjuangan lebih bersinar dan hidup dalam PAS berbanding UMNO.
Mahathir, Anwar dan Ezam sudah merasa kelazatan UMNO yang rahsia itu. Mungkin dalam banyak-banyak yang lazat itu ada yang pahit piang, maka mereka meninggalkan UMNO dulu.

No comments:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...