Dalam banyak-banyak perang dalam dunia yang rata-ratanya merugikan sekarang, barangkali ada satu 'perang' di Tanah Melayu ini yang menguntungkan. Perang apa?. Ia digelar 'Perang Tambang Murah' antara gerombolan tentera MAS dan gerombolan tentera Air Asia, yang diketuai oleh CEO masing-masing, Idris Jalla (MAS-Biru) dan Tony Fernandez (Air Asia-Merah). Tarikh isytiharnya pada 1 Mei 2008 yang lalu melalui siaran langsung seluruh negara.
Kemudiannya, kedengaran persoalan tiru-meniru dan persaingan yang tidak adil oleh pasukan Merah, kerana pasukan Biru dikatakan bersaing dengan bantuan subsidi kerajaan. Dan juga, pasukan Merah menuntut diberikan hak menggunakan lapangan terbang Subang, yang mana telah lama diketahui umum memang diidamkan oleh pasukan Merah, kerana lokasinya yang dikatakan cukup strategik. Juga, ia telah mencapai puncaknya apabila Tony mencabar Idris untuk berdebat, untuk menerangkan bagaimana-apa caranya MAS melakukan khidmat tambang murah ini, dan agaknya untuk membuktikan siapa sebenar-benarnya menawarkan tambang murah yang benar-benar murah.
MAS mengambil pendekatan, 'If you can't kill them, join them' dan Air Asia pula segera bangkit dari zon yang selama ini dikira selamat untuk mereka berniaga. Dengan kekuatan masing-masing yang terpancar sudah, kini mereka hanya perlu menyerah pada hukum masa dan selera pengguna untuk membuktikan siapa yang lebih berhak dan akhirnya keluar sebagai pemenang.
Berikutan itu, dapatlah kita lihat 'perang saraf' dimedia perdana negara bermula, MAS dikaca TV rumah tuan, dan Air-Asia di akhbar yang tuan baca setiap hari. Peristiwa ini menunjukkan kita cara yang betul untuk bersaing dalam berniaga, dan cara yang betul untuk kekal ditingkat tertinggi dalam persaingan.
Akhirnya, mungkin MAS akan menang, mungkin juga Air Asia yang akan menang, tetapi yang pasti menang adalah penumpang. Kita kini ada pilihan penerbangan yang lebih baik, dengan tawaran harga yang kompetetif. Dulu, hanya ada Air Asia, segala bentuk layanannya kita terima juga, sebab ia penerbangan tambang murah. Kini, dengan kekuatan hospitaliti yang sinonim dengannya, MAS barangkali menawarkan kita satu bentuk layanan baru. Mungkin lebih baik. Mungkin lebih buruk. Sama-samalah kita tunggu dan guna, kemudiannya kritik.
Kini, slogan 'Now, Everybody Can Fly' sudah mencapai maksudnya yang sejati.
No comments:
Post a Comment