dupavisitometer

Ujian


Akan datang kepada-mu satu ujian. Yang mana tidaklah engkau tenggelam di dalamnya melainkan engkau sendiri memilih untuk tenggelam. Dan akan juga kepada-mu satu ujian kejiwaan, yang mana akan datang ke dalam jiwa-mu yang lembut gemalai itu satu kerusuhan dan gelora yang maha hebat.
Sedarlah, ujian itu didatangkan sesuai dengan keupayaan-mu untuk lalu dan menghadapinya dengan bijak. Mak ketikanya engkau merasakan engkau akan tertewas, maka tingkatkanlah ketabahan hati-mu, kerana hanyalah dengan hati yang teguh dan kukuh engkau dapat menenangkan fikiran dan tindakan.
Janganlah engkau hiraukan bingit-bingit orang-orang yang duduk melihatkan engkau, kerana mereka sebenarnya tidak pernah berbuat apa-apa untuk mengurangkan ujian yang didatangkan kepada-mu. Insafkanlah diri-mu, bahawasanya mereka tidak layak untuk ujian sebegitu, sebagaimana yang telah ditentukan untukmu, dengan kerana itulah mereka dijadikan hanya sekadar duduk-duduk dan riuh rendah yang mereka sendiri tidak mengerti untuk apa berbuatkan riuh-rendah itu.
Sesungguhnya, janganlah engkau cuba untuk mengharapkan orang lain untuk melalui ujian itu dengan sepenuh jaya, kerana dia tidakkan sanggup dan tidak pula mengerti untuk apa dan perlunya ia melalui ujian itu. Ujian itu didatangkan kepada-mu semata-mata hanyalah sebagai pengajaran dan pedoman untuk diri-mu sendiri.
jika ujian yang engkau lalui itu adalah disebabkan orang lain, maka sedarlah dengan sesungguh sedar, dia didatangkan kepada-mu dengan satu sebab dan bertanggungjawablah dengan sepenuh tanggungjawab untuk faham dan mengerti apakah sebab yang dimaksudkan. dengan hanya mengenal sebab, engkau akhirnya akan faham dan mengerti, dengan hati yang penuh tulus ikhlas.
kerana, tuhan-mu bertindak dalam rahsia, dan rahsia itu tidakkan terungkai dengan agak-agak, penolakan, pemberontakan dan putus asa kerana disitulah terletaknya rahsia dalam rahsia.

No comments:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...