dupavisitometer

PEMIMPIN, PIMPINAN DAN AMANAH

Kempen pilihanraya Kecil Machap hampir ke kemuncak. Bakal menyusul, Ijok. Di Ijok, ada yang sudah turun padang. Ini maknanya fokus, fokus dalam usaha mengekalkan kuasa. Melayu tidak masuk buku, sebab usaha kini tertumpu kepada kaum monoriti. Agaknya, sebab itu tiada isu-isu kaum Melayu yang meletup di muka akhbar perdana. Angin pilihanraya umum (PU), reda seketika. Machap dan Ijok, barangkali medan terbaik menguji keberkesanan strategi dan propaganda. Propagandis-propagandis, baik pemerintah mahupun pembangkang kini, agaknya jarang-jarang tidur lena. Analisis yang itu, cerakin yang ini, ulas yang sana, rumus yang sini. Kalau ikut kata legenda luncai, biarkan, biarkan, biarkan. From the people, By the people, For the people. Ungkapan paling popular untuk menjelaskan konsep asas demokrasi. Rakyat memilih pemerintah, pemerintah membentuk kerajaan, dan kerajaan laksanakan tanggungjawab. Jika ada yang tidak betul dan tidak terlaksana, rakyat ada hak untuk bangun dan bertanya; Kenapa? Ini Roh demokrasi, dan ini dilindungi dalam perlembagaan, dan dalam konteks Malaysia, perlembagaan kita itu mempunyai nilai duniawi dan legitasi yang tertinggi. Bila ada tanggungjawab, hadir sama adalah amanah. Semua wakil-wakil rakyat, baik yang berfotfolio ataupun tidak, adalah pemegang amanah tingkat komuniti ke atas. Itu sesuatu yang berat, penuh risiko dan mempunyai senarai auditasi yang panjang. Amanah, mahupun amanat ini, pernah disentuh oleh HAMKA, antara lain tulisnya: Tanggungjawab menegakkan masyarakat dengan segala cabang-cabangnya, dinamai Amanah. Amanah adalah amat berat sekali, sehingga Allah S.W.T memberikan perlambangan (Simbolik) betapa beratnya perihal Amanah itu melalui firmannya dalam Al-Quran (Surah Al-Ahzab; Ayat 72) “Telah Kami tawarkan Amanah itu kepada ketujuh langit dan bumi, dan bukit-bukit, maka semuanya berat memikulnya dan semuanya memohon diri. Lalu dipikul oleh manusia” (Di petik dari buku Islam: Revolusi ideologi & Keadilan Sosial; M/surat 301 & 302) Perihal Pemimpin. Apa takrif pemimpin? Apa yang melayakkan seseorang itu untuk memimpin? Adakah dia dibentuk? Atau dilahirkan? Jika dibentuk, wujudkah metodologi yang tertentu untuk melahirkan pemimpin? Jika dilahirkan, perlukah kepada bahan makanan dan baka-baka keturunan yang tertentu? Hingga kini, persoalan ini dibiarkan kabur, dan tiada siapa yang berani memberikan kata akhir. Pemimpin yang sudah tergoda dengan dugaan duit, harta dan nafsu. Pemimpin yang sudah terlepas dari saf pimpinannya hingga puak yang memilihnya dipinggirkan secara sedar. Malah, dipilih-pilih pula diantara puak yang memilihnya. Dan pemimpin yang memikul amanah dengan seringan-ringan pikulan, maka, sudah terbatallah kelayakkan sang pemimpin untuk memimpin dari segi keagamaan, kenegaraan dan kemasyarakatan. Setidak-tidaknya itulah yang dapat aku fikir dan putuskan.

No comments:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...