dupavisitometer

MATEMATIKA HIDUP




Ada seorang guru matematik. Seorang professor. Buat kerja pro-bono. Kerja sampai malam. Namanya Mr. Escalante. Hodoh, bergigi jongang, berpenyakit jantung dan diwatakkan lembap. Itu fizikal. Personanya jauh lebih cemerlang. Gigih, bijak, relevan, berani, diktaktor dan yakin. Yakin pada kekurangan, yakin pada masalah, yakin pada usaha dan yakin pada jalan penyelesaian.

Kekurangan pada fikiran Escalante akan mewujudkan masalah, masalah sentiasa menuntut usaha, dan usaha sentiasa membuahkan hasil dan selesaian.

Mengajar di sekolah bermasalah, anak-anak peribumi Chicano, yang berpeluang untuk belajar, dalam keadaan yang serba kekurangan. Serabut dengan masalah perkauman, dadah, kongsi gelap baju petak, kemiskinan, sifat malas, dan paling memuncak ialah bodoh dan dianggap bodoh.

Sekolah tinggi ini cacat jasmani dan rohaninya. Jasmaninya kurang guru, kurang duit, kurang meja, kerusi, dan kurang kemudahan. Roh dan jiwanya dipenuhi oleh guru-guru yang prejudis kepada usaha kebaikan, tidak komited, berkira dalam bekerja, dan menerima keterpaksaan sebagai satu keterpaksaan, bukannya tanggungjawab.

Escalante berjuang sesama muridnya yang dungu, dan berjuang dengan sesama rakan kerja yang dua kali ganda dungu. Bila seseorang yang berkuasa untuk merubah, tetapi memilih untuk tidak merubah, itu satu tingkat dungu yang tertinggi bagi Escalante. Lalu gelanggang pun di buka.

Escalante hadir dan mempersembahkan magis Matematik. Disiplin selesaiannya ringkas dan tidak ortodok. Contoh-contohnya relevan, dan di tangan escalante, Matematik adalah nombor yang bukan nombor, masalah yang bukan masalah, dan selesaian yang bukan selesaian. Yang ada hanya usaha dan kepuasan. Penglihatan murid yang dulu buta matematik (dan dengan kebutaan ini mereka menjadi takut) dibuka oleh Escalante seluas-luasnya.

Semuanya lulus dengan cemerlang. Semuanya mempunyai skor yang sama, dan salah disoalan yang sama. Escalante gembira, anak muridnya apatah lagi. Berhasillah sudah usaha mereka, setimpal dengan pengorbanan. Tapi ada pihak yang curiga, hingga mencadangkan siasatan dilakukan kerana dikhuatiri ada peniruan, curang ketika menjawab soalan.

Tersentak dengan semua ini, dan dinafikan hak, Escalante bangun menetang. Katanya, jika ini keputusan ini dari sekolah yang elit dan murid-murid ini tidak bernama sepanyol dan tidak tinggal di ghetto, kesudahannya pasti lain. Kes ini berunsur perkauman.


Lalu Escalante ditempelak oleh pegawai penyiasat, perkauman hanya terjadi bila minoriti sentiasa menerima curiga majoriti, dan majoriti sentiasa curiga dengan minoriti. Kami tidak mencurigai kamu, dan kamu menerima kecurigaan yang entah dari mana. Kami hanya menjalankan tugas, mengambil kira semua kemungkinan.


Buntu. Dengan kebuntuan ini, tiada siapa yang mengalah. Lalu, dicadangkan ulang periksa dalam masa 24 jam.

Malam sebelum peperiksaan, malam yang penuh dengan kerisauan, penentuan dan ketegangan, antara hasil dan pengiktirafan, ada anak muridnya bertanya, kamu takut kami gagal esok? Escalante menjawab, Tidak, kegagalan esok bukan kekhuatiran aku, aku khuatir kamu gagal di sepanjang hidup.

No comments:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...