Gurindam Dengan Angan-Angan
Bangkitlah, Bangkit!
Mengapa tidur lama sangat
Dimana dapat mencari negeri yang sekaya negeri kita!
Bangkitlah, bangkit!
Timah dimasak sudahlah hangat
Mengapa dibiar bangsa lain mengambil bijih kita?
Bangkitlah, bangkit!
Tidakkah ingin menjadi kaya dengan bangat?
Mengapa dibiarkan bangsa lain bertanam getah di tanah kita?
Bijih dan getah! Bijih dan getah!
Inilah jalan kekayaan yang tentu
Hasil negeri kita yang besar
Bijih dan Getah! Bijih dan Getah!
Dari sebab itu Bangkitlah!
Janganlah asyik dengan berjoget
Lihatlah kekayaan Loke Yew Chow Kit!
Hartanya beribu bermiliun ringgit
Segeralah tuan jangan lengah
Segera berbudi kepada tanah
Kerana tanah baik budinya
Lambat-laun usaha dan penat kita dibalasnya.
Omar Mustafa
(Utusan Melayu, 18 Januari 1913)
Perhatikan sajak diatas. Perhatikan tarikh dan tahunnya. Perhatikan kritikannya. Perhatikan isu-isunya. Perhatikan realitinya. Lagi 6 tahun, sajak ini berusia 100 tahun. Adakah perubahan dari segi kritikan, isu dan realiti sajak diatas dengan apa yang kita (baca: Orang melayu) lalu sekarang?
Sajak ini, jelas, selari dan tidak berlapis. Diksi dan maksud yang disampaikan hanya satu. Tiada penafian, Cuma seruan untuk perubahan, berdasarkan persekitaran, terutamanya tahap ekonomi kita pada tahun 1913. Kesedaran Omar Mustafa sudah pasti lebih awal, Cuma penzahirannya sahaja pada tahun 1913.
Mari kita bandingkan persekitaran masyarakat kita, pada tahun 1913 dan kini, 2007:-
Kita masih tidur dan kita sudah pun bangkit, malangnya, bertongkat. kita masih membiarkan orang lain membuat untung untuk kita, dan kita masih melepaskan ‘bijih’ yang sudah hangat, dan kita masih biarkan bangsa lain bertanam-tanaman untuk kita dengan harapan mereka akan membalas budi baik kita.
Ya, kita masih berjoget, Cuma kini joget kita lebih maju, Loke Yew Chow Kit masih juga yang paling kaya, Cuma sekarang sudah berganti Robert Kuok, dan ya, harta kedua-duanya masih bermiliun ringgit, dimana jika digabung pendapatan semua kontraktor kelas F bumiputera yang ada kini, dan dibanding dengan kekayaan Robert kuok, nescaya Robert Kuoklah yang lebih kaya.
Puisi ini sudah 94 tahun. Jika dalam tempoh ini, kita masih lagi gagal mengatasi kritikan, isu dan realitinya, maka puisi ini bukan lagi kritikan dan ingatan, malah ia sebenarnya adalah cercaan yang dituju kepada kita secara tepat.
Tahun 2020 nanti, jika kita gagal juga, maka jangan kita berlebih-lebih sangat terkejutnya, sebab kita sudah gagal dengan seruan untuk perubahan dan kemajuan 94 tahun yang lalu.
Dimana kelemahan kita? Apa kurangnya kita? Apa yang kita buat betul, dan apa yang kita buat salah? Tiadakah orang mengkaji tindak-tanduk kita?
Barangkali jawapannya begini;
Kita lemah dalam kesatuan, selain dari kesatuan keluarga dan keturunan.
Kita tidak pernah kurang satu apapun, malahan kita lebih, Cuma kita sahaja yang yakin kita ini kurang.
Dalam konsep membangun dalam kesatuan, apa yang kita buat betul untuk keuntungan diri kita adalah salah untuk keuntungan kesatuan. Cuma selama ini, segala keuntungan yang kita kaut, mengapa kesatuan tidak ada tempiasnya?
Ada orang mengkaji tindak-tanduk kita, sudah ditelanjangkan kekuatan dan kelemahan kita. Cuma, ada kita peduli kajian-kajian itu? Ada kita cuba membaca dan mengkaji? Mana mungkin, Malaysia purata pun membaca 8 helai setahun, kita entah berapa helai. Jika tidak membaca, bagaimana caranya menyeberang ke jambatan ilmu? Untuk mengenal diri,bangsa, dan maha penting, agama kita.
No comments:
Post a Comment