dupavisitometer

MEDIUM

Ust. Hasrizal (UH) dan Faisal Tehrani (FT). Antara dua bloggers yang menonjol dalam penulisan tentang Islam (aku rajin merayau disini). Pengetahuan yang dibawa, informatif, komunikatif dan segar. Walaupun bentuk info tentang Islamnya segera, tapi bermakna untuk aku berfikir, mencari dan secara halus mendorong aku untuk mendalamkan pengetahuan aku tentang Islam. Kedua-duanya dikurniakan bakat dalam mencari dan memahami ilmu, dan bakat untuk menulis. Siapa yang rapat dengan karya-karya FT akan tahu letak kekuatannya. Walau guru, rakan komunitinya insan-insan ternama dalam dunia sastera , FT berjaya muncul dalam bentuk dan gayanya penulisannya yang ampuh, tulen dan memikat. T. Alias Taib ada melontarkan ideanya tentang perihal bakat untuk menulis dalam sajaknya bertajuk Bakat (Antologi “Opera”, Cetakan 1988), dan FT ternyata lulus (bagi aku) dalam perihalan-perihalan itu. Penulisan UH sesuai dengan cabang pengajiannya. Tulisannya tentang dunia dan pengetahuan Islam, walaupun hanya sekadar berkongsi pengetahuan dan cerita hidup persekitaran, ianya munasabah. Isunya relevan, rujukannya kukuh, seruannya tepat. Gaya tulisannya lurus dan telus dari pengamatan, dan pengalamannya sehari-hari. Hargai bakat-bakat ini. Dan beberapa kerat yang lain. Rare talent. Bakat mereka ini ganjil-ganjilan. Ya, banyak orang lain yang tahu pasal Islam, dalam ilmunya tujuh lautan, tapi tak tulis blog. Tidak berjumpa medium komunikasi yang tepat. Kalau setakat ceramah, perlu terima hakikat orang muda sekarang majoritinya kurang kunjung masjid, sebab kerjanya banyak, selalu lalai, alpa, dan bertangguh-tangguh, tapi sangat istiqamah ke tempat-tempat yang ustaz kita kata dulu, tempat yang lagha (sia-sia). Pilihan konsertnya tiap-tiap minggu, tiada cukup secara live di dewan-dewan dan di padang-padang bandaran, dibawa masuk ke dalam satelit dan memancar ke kaca-kaca TV rumah, TV-TV kedai mamak dan kedai-kedai tomyam yang berhampiran. Tayangan filem antarabangsa dan tempatan, tiap-tiap minggu bersilih-ganti yang baru. Majalah Popular picisannya, penuh cerita dalam dan luar kain artis yang memandulkan daya kritisnya hari demi hari. Majalah Ilmiahnya pula amatlah mahal dan eksklusif, yang mana harganya serta-merta menjadikannya bakhil. Disebabkan buta bahasa arab, lalu jauhlah ia dari kitab-kitab agung warisan ulama hadis dan cabang-cabang ilmu Islam yang lain. Terjemahan kitab-kitab ini pula, bila dicari, sudahlah sukar, sikit pula bilangannya. Kalau ada pun, terjemahannya dalam tulisan jawi, dan gaya bahasanya yang kadang-kadang telor Indonesia, dan kadang-kadang telor gujerat, mematikan nafsu pembacaannya dengan sekali cantas. Lalu dia menyalahkan perterjemah-penterjemah melayu 50 tahun belakang, sebab tidak berusaha menterjemah kitab-kitab ini. Apakah mereka ini dulu, yang berkemampuan ini, tidur?. Orang muda ini prejudis dengan terjemahan penulis barat, kerana terjemahannya ditakuti menyeleweng, manalah tahu ini usaha sesat pihak-pihak orientalis dan liberalis. Ini antaranya adalah realiti. Jangan kita berselindung lagi. Telanjangkan kesukaan kita. Telanjangkan kelemahan kita. Ada orang kata, tumpukan pada kekuatan. Tipu. Kalau kelemahannya ketara lebih, dan kekuatannya hanya secebis, dikerjakan kekuatan itu lumat-lumat pun, pasti tidak berhasil. (-15 + 7), jawapannya tetap negatif 8, bukan? Kecuali ada kekuatan dalaman. Ada kekuatan batin. Ada kesedaran, dan ada keizinan maha kuasa. Kita sampai bila-bila pun tidakkan dapat mengubah dunia dan cara dunia berfikir. Kita hanya boleh mengubah diri sendiri dan cara kita berfikir. Jangan fikir kita ini melukut, sebab kita antara nukleus pada sel-sel yang membentuk masyarakat dunia. Jika kita seorang diktaktor, punya senjata nuklear yang boleh mengubah dunia, dan dunia seluruhnya hampir tunduk kepada kita, bangunlah dan beristighfar, sesungguhnya kita sedang mengalami mimpi ngeri.

No comments:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...