Budak Kelantan. Ini bukan cerita pasal budak baik-baik. Ini cerita budak-budak jahat. Jahat yang melampau (bergantung kepada tafsiran sendiri. Pada hemat aku, ambil rasuah, salah guna kuasa dan mungkir suruhan Allah itu jauh lebih jahat), namun masih lagi dalam relung realiti.
Buchek dipotretkan budak baik. Sisi putih kehidupan yang lurus. Tiang agama dijaganya baik-baik, walaupun baru lepas stim ubat batuk. Buchek juga dipotretkan belia yang sempurna, lulusan IPTA, dan ada awek cun. Buchek juga kecewa dengan pasaran kerja semasa, dan mempunyai persepsi, nak kerja gomen, kabel kena kuat.
Jaha budak yang maha jahat. Sisi hitam kehidupan yang gelap. Kerjanya, tak habis-habis menjual perempuan, berzina, layan ubat batuk dan layan pil kuda. Kata Jaha, rezekinya murah dengan perempuan. Jaha pernah masuk sekolah Henry Gurney, masuk penjara belum lagi. Di Kuala Lumpur, Jaha samseng. CM dan Pertama Kompleks. Di situlah medan kuasa Jaha. Ayat perempuan disitu. Kena belasah pun disitu. Kawan-kawan Jaha kata dia jahat stail American. Watak Jaha kalau tidak mengucap, barangkali sudah amat hampir jadi kafir.
Jaha dan Buchek ditemukan. Untuk apa? Untuk sama-sama mengenal fitrah yang suci. Fitrah kebenaran, fitrah buruk baik, fitrah betul salah dan fitrah kepada Yang Malikul-Haq. Manusia boleh saja jauh tersesat, tetapi bila terdesak dan hilang arah pandu, fitrah itu datang dengan sendirinya dalam keadaan yang jelas dan penuh kerelaan.
Budak Kelantan adalah satu cerita yang jauh menyimpang dari cerita-cerita tipikal Malaysia. Malahan, Indonesia dan Thailand pun setakat yang aku tahu, belum ada lagi. Filem ini dialognya minimal. Selebihnya, dimonologkan oleh hati kecil Buchek dan Jaha sendiri. Nilai-nilai murni dalam cerita ini diselindung baik-baik dengan lakonan-lakonan yang bersifat jahat dalam norma Agama, budaya bangsa dan adat Melayu.
Akhirnya, jadilah Budak Kelantan garapan dan serlahan idea yang original oleh penulis, pegarah dan pelakon-pelakonnya.
No comments:
Post a Comment