dupavisitometer

ingatan 7 oktober

jam pukul 315 pagi waktu sharjah. mata masih belum mahu layu. di malaysia sudah pukul 715 pagi. alam buana apartmentku di bukit subang rasanya sudah mula 'hidup' perlahan-lahan. paling tidak gerai nasi lemak yang diusahakan oleh dua saudara itu sudah di buka. aku tahu, sebab mereka akan meniaga selepas subuh.

kalau deme cuti, gerai di sebelah kedai mamak itu pasti bukak. seingat aku, gerai itu tidak pernah tutup. gerai itu istimewa, sebab nasi lemaknya nasi lemak pandan, dengan ikan bilis di goreng rangup. apapun, nasi lemaknya jauh ketinggalan dengan nasi lemak emak di rambai 7. nasi lemak yang emak buat ada rasa 'perjuangan'. jika berniaga adalah alat dewata peperangan dan mana-mana perjuangan, maka nasi lemak itulah senjata emak meneruskan perjuangannya. bukan azali seorang ibu tunggal turun berjuang, tapi sejak 35 tahun lamanya, emak tidak pernah punya pilihan untuk tidak pernah turun berjuang. buat adel, ingatlah...pah adel itu adalah pejuang kental yang pernah babah temukan. mungkin ada insan yang lebih kental dan sengit perjuangannya, tapi babah tidak pernah mengenal mereka. babah hanya kenal pah nya saja.

ya, seharusnya lagi 3 hari aku dah balik malaysia. tapi, atas peluang yang diberikan, sambung lagi 3 bulan sampai hujung tahun. nampaknya aidil-adha yang bakal bertandang 26 Oct ini, aku masih di sini, dan seperti biasa mengutip kenangan-kenangan manis untuk aku bekalkan buat diriku di pagi aidil-adha itu nanti. dan itu bukan kerja mudah. mengutip kaca berkecai seribu aku kira lebih mudah.

tapi, tidak mengapalah. aku selalu mengingatkan orang supaya tabah. apapun terjadi, tabahkanlah hati. teguhkan tekad. sekarang, padan muka aku. kata-kata yang aku berikan pada orang, akhirnya datang bertandang di dalam hati. tabahlah engkau sekarang semahu hati. berteguh tekadlah engkau semahu-mahunya. aku berkira-kira, kiranya aku tidak pernah mengucapkan semua itu, dapatkah aku mengerti betapa dalam dan mistiknya perbuatan yang dikatakan 'tabah' dan 'teguh' itu. paling tidak, dapatkah aku mengerti hati itu terlebih dulu 'berdiri' sempurna, sebelum tubuh boleh 'berdiri'.

rindu dendam buat si adel dan isteriku tidak pernah kunjung padam. aku benar-benar berterimakasih dan berhutang dengan kerelaan dan pengorbanan mereka berdua. ini bukan salah sesiapa, hanya satu jalan yang telah ditentukan. sama-samalah kita tempuh berbekalkan apa yang kita di-izinkan-NYA kepada kita. 

di balik langit, ada langit lagi. di bawah tanah, ada tanah lagi.

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...