dupavisitometer

Wayang


Kata Pak Awang, Wayang itu bayang. Disebabkan watak wayang itu diperbuat daripada kulit lembu, sebab itulah dinamakan ‘wayang kulit’. Yang dilayang-layang depan kelir (aku dengar kelir la, tak tau cakap Kelantan apa) itu, adalah cerita dewi sita dengan raja rama dan cerita-cerita manusia seluruh alam. Pak Awang, entahlah apa nasibnya, secara ‘paksa’ menerima dua orang anak angkat, merangkap pewaris yang bakal mewarisi perjuangan sekaligus punca rezekinya, iaitu persembahan wayang kulit. Satu lelaki bernama Awi, dan satu perempuan bernama Melor. Mungkin juga nasib Pak Awang senasib dengan wayang kulit itu sendiri, mendapat pewaris yang serba kekurangan. Awi si buta, dan Melor si sengau. Kecacatan maha besar untuk dua elemen penting dalam mana-mana persembahan iaitu audio dan visual. Namun, siapa sangka, Awi dan Melor merupakan gandingan terbaik untuk kelangsungan wayang kulit Pak Awang yang tertegak dek kerana minat mereka kepada wayang kulit yang mendalam. Pak Awang walaupun sedar dalam serba kekurangan, tanpa jemu cuba juga mendidik Awi dan Melor agar perjuangannya tidak mati. Dalam Wayang, kecintaan tiga watak ini terhadap wayang kulit lebih menonjol dari kecintaan Awi-Melor. Yang lain-lain, agak mudah diduga. Konflik budaya Melayu – Islam yang ditonjolkan seakan-akan memberikan ‘kemenangan’ mudah kepada budaya Melayu. Sedangkan, dalam ‘wayang’ Islam itu ‘dikalahkan’ kerana pembinaan wataknya yang begitu. Watak yang lebih sibuk membetulkan kepincangan masyarakat, daripada kepincangan diri sendiri. Entah mengapa, watak antagonis- Jusoh digambarkan jumud agama, dengki, gatal, ekstrem dan sentiasa memikirkan dan melakukan perkara-perkara jahat dan tidak senonoh yang terang-terang dilarang oleh Islam. Malang, watak Jusoh yang berpotensi untuk menyokong cerita dan memperbetulkan persepsi khalayak terhadap wayang kulit dicorakkan sedemikian rupa. Seakan-akan wayang kulit ini halangan kemajuannya hanyalah perbatasan hukum-hakam Islam, bukannya perkembangan teknologi dan arus modenisasi global yang menghakis kebudayaan itu sendiri secara perlahan-lahan. Juga, kebekuan Pak Awang sendiri untuk menerima modenisasi dalam persembahan wayang kulitnya, sepertimana yang cuba dilakukan oleh Awi, atas alasan warisan mesti tinggal warisan. Mana-mana Kebudayaan yang berbentuk kesenian, untuk terus hidup, setelah dicabar oleh pengaruh-pengaruh luar dan global, perlu disesuaikan dengan kehendak ‘pasaran’ masyarakat terkini, untuk kekal relevan. Yang asli dikekalkan, idea-idea baru disuburkan.

Walaupun Awi dan Melor itu pincang, sekurang-kurangnya dalam ‘wayang’ mereka ada. Barangkali diluar sana, secara realitinya wayang kulit memang mempunyai Awi dan Melornya sendiri, yang serba sempurna.

No comments:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...