Negeri yang itu, yakni Kelantan, saban Pilihanraya Umum (PRU) senantiasa jadi perhatian. Bak anak dara sunti yang tercantik dalam masyarakatnya. Memilikinya satu prestij, memenangi hatinya prestij. Menguasainya pula, bagai memiliki segala-galanya.
Pembangkang (Baca: UMNO) di negeri itu perlu menang, kerana banyak sebab. Antara sebab yang terbanyak itu, antaranya sebagai tanda mampu baginya mendapatkan mandat dari seluruh Negara. Kepincangan pemerintahan lalu sudah dalam tangan. Boleh jadi modal untuk 10 PRU lagi. Hasil mahsyulnya juga sudah pasti dalam genggaman. Tidak lupa juga, niat ikhlasnya untuk pembangunan. Potensi pelancongan dan pusat ilmu di negeri yang itu nampaknya tidak terbatas.
Pemerintah (Baca: PAS) kena bertongkat paruh mempertahankan negeri yang itu. Kemenangan Ke-19nya pasti memberikan pukulan ‘uppercut’ ke pembangkang. Mereka punya satu kelebihan untuk memerintah dengan cara sendiri dan menonjolkan imej pemerintahan mereka untuk sekurang-kurangnya 5 tahun lagi. Segala dasar-dasar pemerintahan berasaskan syiar Islam seperti yang dianjurkan, sudah mempunyai tapak untuk perlaksanaannya. Jika berjaya, boleh dijadikan modal juga.
Bagi negeri-negeri yang bukan negeri yang itu, hanya memandang dari jauh erti pemerintahan ‘Kepimpinan Ulama’ dan bagi negeri yang itu juga hanya sekadar memandang jauh pembangunan yang dianjurkan pembangkang.
Tetapi, aku secara peribadi, merasakan pembangkang di negeri yang itu kena membawa lagu baru untuk meraih undi, sebab sudah 18 tahun, lagu ‘Politik Pembangunan’ gagal. Jelas, selama 18 Tahun pengundi-pengundi negeri yang itu memilih sesuatu yang ‘spiritual’ berbanding fizikal. Pilihlah lagu baru, jika komposer Malaysia sudah kurang bermutu, jangan malu mengimport komposer dari seberang. Setelah pekerja-pekerja marhaen, filem-filem, lagu-lagu, set-set golf, kereta-kereta, Petroleum, jurulatih-jurulatih, peguamcara perbicaraan Pulau Batu Putih, pakaian-pakaian, dan makanan-makanan kita diimport, perlukah lagi perasaan malu itu?
No comments:
Post a Comment