Bubar. Senarai calon. Penamaan calon. Menang tanpa bertanding. Calon tarik diri. Minggu kempen. Gantung sepanduk. Tampal poster. Merata-rata. Itu yang berlaku sejak dua minggu yang lalu. Segala fakta dan figura sudah dilambakkan media-media perdana dan alternatif. Rumusannya setakat ini, rekod BN menang tanpa bertanding paling minima sepanjang tahun kekuasaannya, dan gandingan calon BA paling menyeluruh dan majoriti Parlimen dan DUN menyaksikan pertandingan satu-lawan-satu.
BN mengharapkan mandat yang lebih besar, sekurang-kurangnya menyamai PRU 11, dan BA juga mengharapkan penafian majoriti 2/3 kerusi Parlimen, sekurang-kurangnya menyamai PRU 10. Pada 8 Mac, Malaysia bakal memilih golongan eksekutif yang bakal menjalankan pentadbiran Malaysia untuk satu penggal lagi.
Buat seketika, rakyat pemilih terpancar kuasa memilihnya dan calon bertanding kelihatannya terlalu meminta-minta untuk dipilih. Pilihlah aku, jika menang aku akan buat itu, ini, begitu, begini. Selayaknya, begitulah, yang dipilh menghormati yang memilih, dan bukan sebaliknya. Lagipun, sepanjang dua minggu ini, kita kembali ke ‘Pemerintahan Melaka’, dimana kita semua ini dibawah kekuasaan dan kata putus Yang Di-Pertuan Agong.(YDPA).
YDPA menguasai Parlimen, Kehakiman dan Eksekutif. Rakyat memilih Parlimen, dan pihak yang menang 2/3 kerusi di Parlimen berhak menjawat jawatan Eksekutif Negara (PM,TPM dsb) manakala Kehakiman pula dilantik oleh YDPA, dengan nasihat PM. (Kalau nasib baik, nasihat Lingam juga digunapakai). Secara teknikalnya, Ahli Parlimen, Ahli Eksekutif kerajaan dan para hakim yang cerdik pandai, berdiri sama tinggi antara satu sama lain. Itulah sebabnya, bila institusi kehakiman kita kedengarannya bermasalah, suruhanjaya Diraja ditubuhkan, sama juga keadaannya dengan Suruhanjaya Diraja berkenaan kepolisan suatu masa dulu.
Struktur pentadbiran perlu kita faham dan mahir sebagai rakyat. Barulah kita tahu letak duduk, dan peri pentingnya pilihan kita. Jika pilihan kita cukup bijak, perseimbangan ‘Check and Balance’ setiap dasar keputusan Parlimen, Eksekutif dan Kehakiman pastinya berkurangan mengalami masalah-masalah ‘teknikal’ berkaitan penggunaan struktur kuasa dan kuasa pentadbiran serta memperkasakan kemurnian autoriti dan integriti ahli-ahlinya.
Perkembangan sistem demokrasi Asia mutakhir ini juga, menawarkan pelbagai ketidakjangkaan. Musharraf pastinya tidak menjangka dia akan berdiri dalam satu kerajaan dengan pembangkang, dan Thaksin juga tidak pernah bermimpi partinya kembali menang dan dia boleh kembali ke Thailand setelah disingkirkan dari jawatan. Terbukti, yang menolak Thaksin hanya ‘Orang-orang Bangkok’ sedangkan seluruh Thailand majoritinya masih menyokong.
Jika BN memang 2/3, kita masih selamat, aman dan makmur. Jika BA menang 2/3, kita masih boleh menuntut perlaksanaan Negara yang berkebajikan. Jika BA dan BN sama-sama menang dengan garis majoriti yang tipis, maka kita perlu memikirkan cara baru untuk membentuk kerajaan., yang menawarkan demokrasi baru untuk Negara kita dan pemerintahan baru untuk kita sebagai rakyat.
Dan, jika ini benar-benar terjadi, itulah namanya keputusan yang dipersembahkan oleh syurga untuk kita.
No comments:
Post a Comment