Tuan-tuan, dalam negara kita sekarang ada dua kumpulan. Walaupun sebelum ini telah terdiri dari dua kumpulan, namun mereka hanya dominan dan menyerlah dalam gelanggang mereka sendiri. Secara tradisinya, iklim politik kumpulan-kumpulan ini cukup selamat dalam lingkungan mereka sendiri, hingga tuan-tuan boleh menafsir sendiri bahawasanya mereka cukup arif dan cukup 'masak' dengan aturan gelombang dan gelora permainan yang mereka sama-sama pilih sejak 50 tahun dulu.
Oleh kerana mereka tidak pernah cuba untuk meletakkan diri mereka dalam sepatu lawannya, maka mereka tidak pernah ada perancangan teguh jika ditakdirkan mereka bertukar sepatu. Mereka tidak pernah bermimpi, membayang, hatta bergurau mengenainya. Tetapi, jika sudah ditakdirkan, ditakdirkan jualah ia, walau bagaimana kuat tuan-tuan cuba menahannya. Akhirnya, pada 9 Mac lalu, yang ditakdirkan, terjadi.
Apabila ini terjadi, suka saya mengulas perihal kumpulan yang 50 tahun sebelumnya telah mendapat mandat tuan-tuan. Sekarang dapatlah tuan-tuan lihat, kumpulan yang ini berubah sikap, terlompat-lompat kekejangan dan pada satu-satu masa dapat tuan-tuan lihat mereka ini sepertinya hilang punca perjuangan. Ada seribu sebab-musababnya, namun amat malang mereka sekalipun tidak pernah meneliti sebab -musabab ini satu demi satu.
Yang terpacul dari fikiran mereka ialah, ini sabotaj, ini protes, ini marah, ini bosan, ini benci, mereka telah termakan dakyah palsu, mereka telah termakan persepsi songsang, mereka telah termakan fitnah politik, dan entah apa-apa lagi, tetapi tidak pernah sekali pun mereka mengeluarkan kenyataan yang berunsur muhasabah diri yang sebenar-benar jujur dan boleh kita insafi. Namun ini tidak terjadi. Lalu, tidak keterlaluan fikiranku senang memanggil kumpulan ini kumpulan yang buta hakikat, yang dulu, sepanjang mereka diletakkan amanah, sering mencemar amanah.
Kiranya mereka sedar yang terbeban dibahu-bahu mereka itu amanah yang merupakan hakikat sokongan yang menetukan hidup mati perjuangan mereka, dan mereka mungkir, maka perlulah mereka menerima hakikat yang baru ini dengan berlapang dada, dan janganlah mereka menyalahkan sesiapa lagi. Hakikat bahawasanya sokongan yang kini terhakis, hasil usaha bertahun-tahun mereka meringan-ringankan amanah yang difardukan ke atas mereka.
Patriotisma dan nasionalisma itu selamanya kekal satu, iaitu melawan segala bentuk penindasan yang ada di Tanah Melayu, tanah bertuah ini.
No comments:
Post a Comment