dupavisitometer

Petikan Artikel Dr. Maza : Fakta Benar Perlukan Kesimpulan Betul


...Misalnya, ada kerajaan yang ingin melanjutkan pusat hiburan sehingga pukul 3 pagi. Saya percaya, jika tokoh ulama ini ditanya oleh awam, atau media, atau jika dia menjadi ahli Parlimen pasti dia akan berkata: “Saya tidak boleh mengkritik atau membantah ulul amri di khalayak ramai kerana itu haram”. Maka mandullah negara, rosaklah rakyat. Sedangkan para sahabat seperti Salman al-Farisi bangun membantah tindakan Amirul Mukminin ‘Umar al-Khattab dalam majlis terbuka. Demikian juga sahabat yang lain. Betapa banyak riwayat para sahabah dan ulama salaf bangun memberikan kritikan terhadap keputusan para penguasa di depan khalayak ramai.
Dalam riwayat al-Tabarani yang dinilai hasan oleh al-Albani:
“Muawiyah bin Abi Sufyan r.a (khalifah ketika itu) menaiki mimbar pada hari Jumaat, dia berkata dalam khutbahnya: “Harta ini (kerajaan) adalah harta kami, dan harta fai (yang diperolehi melalui peperangan) juga harta kami. Kami berikan kepada sesiapa yang kami mahu, dan kami tidak berikan kepada sesiapa yang kami mahu”. Tiada seorang pun yang menjawabnya.
Apabila tiba jumaat yang kedua, dia mengucapkan perkara yang sama. Tiada siapa pun menjawabnya. Pada jumaat yang ketiga dia berkata perkara yang sama, lalu seorang lelaki yang hadir dalam masjid itu bangun dan berkata: “Sama sekali tidak! Harta ini adalah harta kami (rakyat) dan fai ini adalah fai kami (rakyat). Sesiapa yang menghalang antaranya dengan kami, kami hukumnya dengan pedang-pedang kami”.
Apabila selesai solat, Muawiyat memerintahkan lelaki itu berjumpa dengannya. Orang ramai berkata: “Habislah dia”. Kemudian orangramai masuk dan mendapati dia duduk bersama Muawiyah di atas tempat duduknya. Muawiyah berkata kepada orang ramai: “Dia ini telah menghidupkanku (memberikan kebahagian), semoga Allah menghidupkannya. Aku mendengar Rasulullah s.a.w bersabda: “Akan ada pemimpin-pemimpin selepasku, mereka itu bercakap tiada siapa pun yang menjawab mereka. Mereka itu terjun ke dalam neraka seperti kera terjun”.
Kata Muawiyah: Aku bercakap pada jumaat pertama, tiada siapa pun menjawabku, maka aku takut aku termasuk dalam kalangan mereka. Kemudian pada jumaat yang kedua, tiada siapapun menjawabku, maka aku pun berkata: “Aku termasuk dalam kalangan mereka”. Aku bercakap pada jumaat ketiga lelaki ini bangun menjawabku. Dia hidupkan (bahagiakan) daku, semoga Allah menghidupkannya”.
Itu generasi salaf. Itu khalifah di zaman salaf. Bagaimana pula dikatakan mazhab salaf melarang sama sekali menegur pemerintah di khalayak rakyat?! Ya, adapun soal maksiat peribadi, seperti akhlak buruk pemerintah, atau keluarga mereka yang tidak membabitkan kepentingan negara, maka di situ kita dilarang mendedahkan atau menceritakan keaiban orang lain di khalayak ramai. Islam menyuruh kita menutup aib orang, apatah lagi mereka yang mempunyai peranan yang besar seperti itu. Di sini Nabi s.a.w bersabda:
“Sesiapa yang ingin menasihati orang yang memiliki kuasa, janganlah dia menampakkannya secara terang-terangan. Sebaliknya hendaklah dia mengambil tangannya (orang yang memiliki kuasa) dan bersendirian dengannya (menasihatinya dengan tidak didedahkan aib secara terbuka). Jika dia terima maka dia berjaya, jika tidak dia (orang yang menasihati) telah menunaikan kewajipannya”. (Riwayat Ibn Abi ‘Asim dalam al-Sunnah 507. Sanadnya sahih seperti yang dinyatakan oleh al-Albani).
Apa yang dibuat oleh sesetengah pihak dengan menceritakan aib peribadi pemimpin di khalayak ramai adalah menyanggahi syarak. Namun, itu bukan alasan untuk kita mengharamkan mengkritik pemimpin dalam perkara yang membabitkan soal kemaslahatan umum rakyat. Fatwa mengharamkan mengkritik kerajaan secara terbuka adalah sikap mengampu yang berlebih. Maka, amatlah penting untuk membuat kesimpulan yang betul atas fakta yang dilihat. Jangan, lain fakta, lain kesimpulannya. Fahami teks dan konteks, nas dan realiti.

No comments:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...