dupavisitometer

ERTI MERDEKA

Mana yang dulu? perayaan sebelum atau perayaan selepas. Fiesta merdeka ke 50, bila keraiannya? 30 hari sebelum 31 ogos atau 30 selepas 31 ogos? Aidilfitri mudah dijangka keraiannya, 30 hari selepas 1 syawal.
Samalah juga halnya, bila ditanya apakah yang paling penting, Merdeka..atau mengisi Merdeka?
Kata orang, mengisi dan mempertahankannya lebih susah dan mencabar. Jika begitu, apakah usaha menuntut merdeka itu lebih mudah? Apakah generasi yang mengisi merdeka lebih berani mati sebagaimana generasi datuk neneknya dulu? jika itu juga mencabar, maka apa gunanya membanding keduanya?
Program mencari Anak Gemilang Malaysia Astro adalah contoh nyata perbandingan yang tidak berguna ini. MAnakan kita boleh mengukur jasa orang. Jangan jadi bodoh, nak ukur dengan apa?

SERIUS

Bila aku ghairah gila nak buat blog, ada jangkaan yang aku araskan pada penyampaian blog aku itu nanti.Idea kena asli, bukan ciplak, bahasa kena melayu betul, bukan campur-campur, bukan slanga, dan bukan kata pendek, sebab aku amat menghormati Bahasa Melayu sebagaimana aku menghormati kewujudan Tanah Melayu dan Bangsa Melayu. Ketiga-tiga elemen ini pada aku duduk sama tinggi dan setara, tiada yang perlu didahulukan, tiada yang perlu lebih dipentingkan.
Ketiga-tiganya sama penting, ketiga-tiganya sama dihormati.Bahasa Melayu bahasa ibunda, Tanah Melayu tanah ibunda, Bangsa Melayu bangsa saudara, ya..kita yang bersaudara.
Bila sudah ada blog,ada masalah lain pula. Kawan-kawan kata, aku tak macam aku, percakapan dan tulisan aku, berbeda. Bila dibaca, kedengarannya aku ini manusia serius, rigid dan kaku. Apa yang terluah hanya kekecewaan pada bangsa, persekitaran dan praktis-praktis sosio-ekonomo-politiko semasa yang sumbang.

KERISAUAN PADA BANGSA

Aku punya seorang teman, yang sentiasa risau dan kecewa dengan kelaku bangsanya. Dia selalu mengharapkan bangsanya jadi istimewa kerana mereka adalah pewaris segala warisan bangsanya.
Dia sering mencari jawapan, kenapa dan mengapa bangsanya yang dulu begitu begini, sudah menjadi macam itu macam ini. Begitu begini bangsanya sudah menjadi sejarah yang tidak terulang, dan macam itu macam ininya pula sudah jadi barah tak terjampi pawang. Bangsanya hampir tertewas.
Dia juga sering kecewa, dengan kelaku para bangsawan bangsanya, yang pada fikirannya menyeleweng, buta dan tewas dengan nafsu yang nafsi, yang korup, yang kroni,yang tamak, yang haloba, yang melepas pucuk, yang menabur pujuk, yang bertalamkan dua muka dan lebih parah sudah jauh dengan ISLAM.
Kerisauannya pada kedudukan bahasa, peluang peniaga muda dan tua, dana dusta, warisan budaya lupa, peluang pendidikan yang tidak imbang, pengagihan dana dan projek yang tercium tidak kenanya. Dia juga kadang-kadang mempersoal tentang kedudukan strategik negerinya yang jauh dari jangkauan bangsanya.
Malang sekali temanku ini telahpun menemui Rabbul-Izati dalam keadaan yang aman dan damai(Sebab dia hamba-Nya yang ta'at barangkali), seminggu sebelum ajalnya, sempat dia berpesan melalui SMS.
"Demi masa, manusia dalam kerugian, kecuali bagi mereka yang berbuat kebaikan,berpesan-pesan dengan kebenaran dan sabar"
Bukankah semua ini yang bangsaku perlukan?

MENCERCA MELAYU

Gurindam Dengan Angan-Angan Bangkitlah, Bangkit! Mengapa tidur lama sangat Dimana dapat mencari negeri yang sekaya negeri kita! Bangkitlah, bangkit! Timah dimasak sudahlah hangat Mengapa dibiar bangsa lain mengambil bijih kita? Bangkitlah, bangkit! Tidakkah ingin menjadi kaya dengan bangat? Mengapa dibiarkan bangsa lain bertanam getah di tanah kita? Bijih dan getah! Bijih dan getah! Inilah jalan kekayaan yang tentu Hasil negeri kita yang besar Bijih dan Getah! Bijih dan Getah! Dari sebab itu Bangkitlah! Janganlah asyik dengan berjoget Lihatlah kekayaan Loke Yew Chow Kit! Hartanya beribu bermiliun ringgit Segeralah tuan jangan lengah Segera berbudi kepada tanah Kerana tanah baik budinya Lambat-laun usaha dan penat kita dibalasnya. Omar Mustafa (Utusan Melayu, 18 Januari 1913) Perhatikan sajak diatas. Perhatikan tarikh dan tahunnya. Perhatikan kritikannya. Perhatikan isu-isunya. Perhatikan realitinya. Lagi 6 tahun, sajak ini berusia 100 tahun. Adakah perubahan dari segi kritikan, isu dan realiti sajak diatas dengan apa yang kita (baca: Orang melayu) lalu sekarang? Sajak ini, jelas, selari dan tidak berlapis. Diksi dan maksud yang disampaikan hanya satu. Tiada penafian, Cuma seruan untuk perubahan, berdasarkan persekitaran, terutamanya tahap ekonomi kita pada tahun 1913. Kesedaran Omar Mustafa sudah pasti lebih awal, Cuma penzahirannya sahaja pada tahun 1913. Mari kita bandingkan persekitaran masyarakat kita, pada tahun 1913 dan kini, 2007:- Kita masih tidur dan kita sudah pun bangkit, malangnya, bertongkat. kita masih membiarkan orang lain membuat untung untuk kita, dan kita masih melepaskan ‘bijih’ yang sudah hangat, dan kita masih biarkan bangsa lain bertanam-tanaman untuk kita dengan harapan mereka akan membalas budi baik kita. Ya, kita masih berjoget, Cuma kini joget kita lebih maju, Loke Yew Chow Kit masih juga yang paling kaya, Cuma sekarang sudah berganti Robert Kuok, dan ya, harta kedua-duanya masih bermiliun ringgit, dimana jika digabung pendapatan semua kontraktor kelas F bumiputera yang ada kini, dan dibanding dengan kekayaan Robert kuok, nescaya Robert Kuoklah yang lebih kaya. Puisi ini sudah 94 tahun. Jika dalam tempoh ini, kita masih lagi gagal mengatasi kritikan, isu dan realitinya, maka puisi ini bukan lagi kritikan dan ingatan, malah ia sebenarnya adalah cercaan yang dituju kepada kita secara tepat. Tahun 2020 nanti, jika kita gagal juga, maka jangan kita berlebih-lebih sangat terkejutnya, sebab kita sudah gagal dengan seruan untuk perubahan dan kemajuan 94 tahun yang lalu. Dimana kelemahan kita? Apa kurangnya kita? Apa yang kita buat betul, dan apa yang kita buat salah? Tiadakah orang mengkaji tindak-tanduk kita? Barangkali jawapannya begini; Kita lemah dalam kesatuan, selain dari kesatuan keluarga dan keturunan. Kita tidak pernah kurang satu apapun, malahan kita lebih, Cuma kita sahaja yang yakin kita ini kurang. Dalam konsep membangun dalam kesatuan, apa yang kita buat betul untuk keuntungan diri kita adalah salah untuk keuntungan kesatuan. Cuma selama ini, segala keuntungan yang kita kaut, mengapa kesatuan tidak ada tempiasnya? Ada orang mengkaji tindak-tanduk kita, sudah ditelanjangkan kekuatan dan kelemahan kita. Cuma, ada kita peduli kajian-kajian itu? Ada kita cuba membaca dan mengkaji? Mana mungkin, Malaysia purata pun membaca 8 helai setahun, kita entah berapa helai. Jika tidak membaca, bagaimana caranya menyeberang ke jambatan ilmu? Untuk mengenal diri,bangsa, dan maha penting, agama kita.

WAKTU UNTUK MELEPASKAN

Kita, apabila sampai pada waktu-waktu dan ketika-ketika yang tertentu, perlu melepaskan atau melihat pergi sesuatu yang kita hargai,impi,perlu, mahu,ingin,sayang,simpan atau mana-mana kata yang bermaksud pemilikan dari kita samada kita suka, atau tidak, dengan rela atau separuh rela. Waktu itu adalah maut.
Bila datangnya maut, masanya sudah cukup. Sudah cukup untuk memilik semua nikmat dunia, terhenti tiap nafas, bungkam tiap rasa. Tinggallah yang hidup berjalan lurus dan terus, tinggallah yang mati menemui Maha Kudus.
Dalam gelap gelita, terdengar satu suara...

MULUT ARTIS

Sabtu. 10 pagi. CNN. Larry King 'Live'. Tamunya Al Pacino . Micheal Corleone. Godfather 1,2,3. Bual bicara tentang promo DVD baru, Filem lakonan Pacino yang diterbitkan sendiri tapi tidak ditayangkan. Katanya, koleksi filem itu asalnya untuk kenang-kenangan, tapi masa dan ketikanya sudah sesuai untuk dijadikan tontonan umum.
Itu kurang penting. Yang penting cara Pacino jawab soalan Larry King. Terkawal, tidak melebih-lebih, dan berhati-hati. Setiap butir katanya, boleh dirasakan ianya datang dari cara dia berfikir, berpaksikan persekitaran dan pengalaman.
Berbeza dengan artis-artis kita. Bila menjawab isu-isu sensitif, selalu terlajak kata, maksud dan emosi. Tahun-tahun kebelakangan ini semakin serius. Adalah satu hal yang amat menyinggung, apabila kita (masyarakat) tertipu dengan frasa-frasa "artis contoh masyarakat", "artis public figure, setiap tingkah lakunya diperhati", "dia popular, sebab itu dia diperhati". Benarkah?
Popular ke tahap mana? Penyanyi Safura pernah dibuktikan tidak popular oleh mahkamah dalam kes saman malu Ifa Raziah. Popular sampai ke mana? Siti Nurhaliza (sebelum Datuk) menyanyi di London, tapi penontonnya hanya khalayak Malaysia. Jadi, popular sampai ke tahap mana, dan hingga kemana?
Siapa yang bermimpi mengaku / menentukan darjah populariti dalam industri ini? artis? karyawan? orang dibelakang tabir? wartawan?
Kalau artis ini role-model masyarakat, peminat, dan golongan muda, kata sepatutnya tidak dari kepala lutut, tapi hendaknya biarlah datang dari kepala yang berakal, dan berfikir.
Malang sekali artis kita hanya berkepala dan berakal, tapi kurang berfikir.

PECAH DUA, DAN KEMUDIANNYA APA?

Kenapa dalam negeri kita ini, kalau kita mencari hiburan, kalau tidak menonton filem, kita akan ‘hadir’ ke majlis nyanyian (macam konsert tanpa mengira kecil, besar, mingguan ataupun bulanan). Pernahkah kita bertanya, kenapa kita hanya ada dua pilihan? Kenapa kita tiada ruang yang lebih luas dan lebih riuh-rendah untuk persembahan-persembahan hiburan alternatif seperti “stand-up comedy”, Dekon, baca puisi, muzik eksperimentasi, drama pentas/teater, joget lambak, majlis jual-beli pantun, persembahan syair, gurindam, wayang kulit, atau lain-lainnya, selain dari nyanyian dan filem? Adakah sudah tiba masanya selera seni kita sudah homogen, terperangkap hingga tiada cahaya dihujung terowong yang gelap? Kenapa ‘artis baru’ sekarang gelanggangnya hanya ada dua, kalau tidak buat album, dia mestilah berlakon filem/drama, baru dia diiktiraf artis baru? Dan kenapa pihak sokongan industri (Produser filem/album dan wartawan) semacam ikut khayal dengan definisi ini? Kalau berterusan, bagaimanakah caranya kita hendak melahirkan kreativiti baru dan mempertahankan cebis-cebis yang kita ada kini? Tahukah kita perkembangan hiburan alternatif yang lain dalam negeri ini? Jika jawapannya tidak, maka kita perlu berbuat sesuatu. Samada menerbit minat baru dalam diri kita atau membenarkan diri kita memilih sesuatu yang lain daripada dua yang diatas, terpulanglah. Maha penting, kita kena buat sesuatu. Bila industri hiburan kita ini terpecah kepada dua yang dominan, dan hiburan alternatif ini terpinggir, mungkin pada satu ketika, bila kita berjalan di kota-kota, dan kita berselisih bahu dengan 10 orang, 8 daripadanya adalah penyanyi/pelakon. Daripada 8 ini, 2 kita kenal kerana kualiti bakat yang dimiliki, dan lagi 6 lagi kita kenal kerana kualiti bakat yang dibuat-buat dan diangkat-angkat oleh publisiti murahan, tulisan-tulisan wartawan yang kurang jujur dan pujian lambung tak jatuh-jatuh oleh produser filem/albumnya. Sampai bila kita terus tertipu dengan hasil lakonan / nyanyian yang kurang dari jangkaan dan harapan kita, sedangkan kita tahu kita layak untuk cabang/kualiti hibur yang lebih baik? Sampai bila kita perlu menyokong cabang/kualiti hibur yang disogokkan kepada padahal minat dan keinginan kita pada sesuatu yang baru tidak pernah ditawarkan? Bila industri pening memikirkan kenapa filem/album tiada sambutan, sedangkan pernahkah mereka terfikir memang itu saja kumpulan sambutannya, sedangkan kumpulan lain memang tidak pernah menyambut. Mungkin kumpulan ini adalah kumpulan pendesak/pemerhati senyap yang kecewa dengan tindak-tanduk dan paras kreativiti industri sekarang dan mengharapkan mereka ada alternatif lain? Atau industri memang tidak pernah memikirkannya, dan kumpulan ini memang tidak pernah memerhati.

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...