dupavisitometer

Umno: Akhir Sebuah Impian

Umno: Akhir Sebuah Impian (U:ASI) adalah buah tangan akhir Mohamed Rahmat (MR) (1939-2010) yang merakamkan serba sedikit lanskap politik tanahair era 5 Perdana Menteri yang terdahulu.
Buku ini ditulis dalam keadaan santai dengan gaya bersembang yang penuh dengan penilaian peribadi terhadap tokoh-tokoh yang pernah menggegarkan iklim politik tanahair, dan yang paling tertonjol sekitar era Mahathir Mohamed.
M.Rahmat mendedahkan bahawasanya, UMNO, parti yang dijunjungnya berdekad lamanya sentiasa mempunyai api perebutan kuasa yang menyala-nyala walaupun ia sentiasa nampak tenang, kukuh dan bersatu padu di mata masyarakat Melayu.
Bakat politiknya dikesan oleh Sardon Jubir, yang kemudiannya mendapat perhatian Tun Razak dan Tun Dr. Ismail. Selebihnya ia berkhidmat dibawah Tun Hussein Onn, dan kemudiannya di bawah Tun M.
M.Rahmat juga menceritakan bagaimana Sulaiman Palestin menjadi 'Pawn' Mahathir dalam perancangannya ke puncak kuasa.
Namun begitu, M.Rahmat memilih untuk setia, dan baginya, kesetiaan adalah nilai penting dalam menjunjung semangat perjuangan dan kesepaduan parti. M.Rahmat juga semacam mengakui bahawa dia memang berbakat dalam menyebarkan propaganda UMNO dan juga kerajaan, dan sesuai benarlah kapasitinya sebagai Menteri Penerangan.
Semakin kita menghampiri helaian akhir U:ASI, kita akan dapat mengesan kekecewaan M.Rahmat akan nasib Umno pasca PRU 12 yang lalu. Mungkin, apa yang berlaku kepada UMNO hari ini adalah sebahagian dari kerosakan-kerosakan dalaman yang tertinggal atau mungkin juga menyala-nyala dalam konflik kepimpinannya dalam era 1969, 1988, 1998, dan 2004.
Mohamed Rahmat, Al-fatihah.

No comments:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...