dupavisitometer

Yang Menyala-Nyala

Tuan-tuan;
Adakah kini, yang menyala-nyala dalam pikiran masyarakat Melayu yang 'kononnya' terpecah dua ini hanya kebencian? Sedarkah mereka-mereka yang terlibat dan yang berniat jahat menyala-nyalakan sentimen kebencian ini, bahawa sesungguhnya kita yang Melayu yang mana yang lelakinya semua berkhatan ini hanya terpecah dan saling membenci hanya kerana kita berada di bawah bendera yang berbeza?
Yang lainnya kita sama. Bahasa kita sama. Yang beza loghat. Budaya kita sama. Hormatkan orang tua, dan berjiwa lembut. Kita menjaga sesama kita. Kita menghulurkan bantuan pada yang memerlukan. Kita berlapang dada. Jangan hanya kerana bendera dan lambang, kita tinggalkan semua nilai-nilai budaya yang tinggi ini.
Dalam urusan-urusan agama, perbezaan begini disebut mazhab. Manakala dalam urusan keduniaan dan kemasyarakatan, ianya siasah kepartian. Oleh kerana kita ini Melayu dan simbiosis dengan Islam, maka kedua-duanya bertaut rapat takkan putus lagi, melainkan kita sengaja memutuskannya.
Pertamanya kepentingan Islam, dan keduanya kepentingan bangsa. Fikirkan dengan mendalam, fikirkan dengan cermat. Beratkan perihal-perihal yang berkaitan kehidupan selepas mati, iaitu kehidupan kekal terlebih dahulu. Dan kemudiannya, kita fikirkanlah perihal dayahidup dan dayalangsung bangsa kita ini semacam kita mahu hidup selama-lamanya.
Tuan-tuan;
Mana yang terlepas, terlepas sudah, mana yang menggengam, menggengam juga. Janganlah bermusuh dan saling membenci antara yang terlepas dan yang menggengam. Kedua-duanya sama, saudara kita yang tiada bezanya langsung. Percayalah, api yang bernyala-nyala sekarang ini hanya dicetuskan oleh kebencian, dan hanya dengki semata-mata. Dan untuk pencetus, kami tahu, yang kamu, manusia jelik, keutamaan kamu bukan batu, tapi kawanan udang yang ada dibalik batu.
Ini hanya masalah keanak-anakan yang digula-gulakan oleh kemanisan kuasa.

No comments:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...