dupavisitometer

atributasi demokrasi yang sangat menyedihkan

ya, sepanjang penggal pasca pru 12, kita selaku rakyat malaysia menyaksikan kejadian kemungkinan-kemungkinan amalan demokrasi yang tidak pernah kita terfikir yang kita sempat saksikan. ianya adalah kemungkinan mengubah kerajaan dengan tindakan wakil rakyat yang melompat atau menyeberang ke pihak lawan. kemungkinan menukar kerajaan ini timbul berikutan perbezaan bilangan kerusi oleh pihak kerajaan dan pihak pembangkang.

secara benarnya, ini adalah masalah moral berbanding masalah prinsip perjuangan.

idea untuk mengambilalih kerajaan melalui proses yang kononya 'tidak demokratik' ini bermula dengan desas-desus pada tarikh 16 september yang dicetuskan oleh anwar ibrahim, bahawa lebih kurang 30 - 40 orang ahli parlimen yang bakal menyeberang ke pakatan rakyat, yang memungkin kerajaan pusat berpindah tangan dari BN ke PR. dipendekkan cerita, akhirnya 30-40 ahli parlimen itu kekal menyokong kerajaan, dan kerajaan kekal diperintah BN.

namun begitu, beberapa bulan kemudian, kecoh pula dengan desas-desus bahawa kerajaan perak akan di ambil alih dengan proses yang sama. iaitu proses lompat. cuma, kali ini lain sedikit, sebab ia menggunakan 'torjan horse' iaitu adun bota. kemudiannya, 3 orang adun PR telah berpaling tadah atas isu tidak bersefahaman, bergabung dengan BN dan sekaligus mengubah majoriti kerusi pemerintahan dari PR ke BN. selebihnya hanya tinggal sejarah lipatan demokrasi yang pahit untuk dikenang.

didalam persidangan agung umno baru-baru ini, dan di masa-masa yang lain, tindakan yang dicetuskan oleh anwar ibrahim ini dicanag sebagai pembohongan besar dan anwar seorang pembohong. anwar juga dipotretkan sebagai seorang yang rakus kuasa, sehingga sanggup menggadaikan prinsip-prinsip demokrasi. 

saya boleh bersetuju dengan tuduhan-tuduhan umno itu, namun selain kita menuduh, elok juga kita bertanya, dengan menggunakan method yang sama di perak, adakah umno juga rakus kuasa? umno tidak mengumumkan mereka akan mengambilalih perak dengan proses yang sama, jadi yang baiknya mereka tidak berbohong. tetapi tetap mencabul kesucian proses demokrasi itu sendiri.

katakanlah umno tidak salah, sebab 3 orang ini yang beria-ia yang hendak masuk dan menyokong umno. baik. umno akan jadi lebih mulia sekiranya menolak kemasukan yb-yb lompat ini, kerana mereka sudah pastinya bankrupt moral. menerima mereka samalah bersetuju dan bersama-sama menjadi sebuah pemerentah yang bankrupt moral.

kalau tidak, bangsa melayu ini tidak menggambarkan tindakan umno itu seumpama seekor kerbau terpalit lumpur, dan dalam bahasa yang lebih halus, umpama nila setitik yang merosakkan susu sebelanga.

seharusnya, umno tidak mengambil peluang terhidang, sebaliknya menjunjung prinsip demokrasi dengan menasihatkan ketiga-tiga wakil itu meletakkan jawatan dan membuat undi semula. lawan di gelanggan demokrasi, dengan menjemput sama rakyat membuat keputusan.

namun insaflah kita, waima ini terjadi kepada PR sekalipun, barangkali tiada bedanya dengan umno. jadi janganlah kita berkeras sangat, kerana hakikat dalam mencari kuasa, matlamat menghalalkan cara.

dan kita hidup di zaman yang menjalani atributasi proses demokrasi yang sangat-sangat menyedihkan.  

No comments:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...