rombongan cik kiah, suatu masa dulu... |
imej pertama antara aku dengan persidangan umno (pu) ialah imej zahid hamidi di muka depan majalah tamadun, gayanya sewaktu menjawat jawatan ketua pergerakan pemuda umno, yang membongkar isu kronisme dalam umno. tahun itu, 1998, yang dikatakan itulah tahunnya anwar akan 'sapu' habis dr. m. mana taknya, pemuda dah proksi anwar, wanita pun dah proksi anwar. buat pertama kali dalam pemilihan penggal itu, rafidah aziz tersungkur di kaki zaharah sulaiman.
dan ketika itulah juga, dr. m kata umno dah teruk, dah kena virus politik wang, politik rasuah. itulah ketikanya, lanskap politik malaysia tidak pernah sama seperti dahulunya.
kemudian, pada 2002, macam orang lain, tersentak dengan pengumuman dr. m untuk letak jawatan secara 'live' di kaca tv. 18 bulan kemudian, dr. m pun meletak jawatan dan serah kepada abdullah badawi. dalam kejadian itu, pertama kalinya aku tengok pemimpin melayu so helpless dengan idea ketiadaan dr. m. aku secara peribadinya merasa kasihan dengan 'kediktaktoran' dr. m dan ketundukan pemimpin-pemimpin melayu yang lain.
dan, pentadbiran abdullah badawi sepertimana yang kita tahu, terbelenggu sekali lagi dengan isu-isu kronisma dan nepotisme. di dalam tahun 2004, isa samad dan ali rustam, menang kerusi naib presiden, namun kedua-duanya berhadapan dengan tuduhan rasuah pada penggal yang berbeza dan akhirnya didapati tidak bersalah.
dan, pada persidangan tahun 2005 lah aku menjejakkan kaki ke pwtc buat pertama kalinya, untuk merasai sendiri suasana persidangan umno, walaupun sekadar di perkarangan dan lobi pwtc. banyaknya orang dan gerai menjual barangan-barangan umno, air minum, perhiasan dan makanan. skrin besar untuk orang ramai yang datang dari seluruh pelosok rantau tanahair untuk mendengar amanat pemimpin.
banyaknya orang-orang 'kem', yang muda-muda berhidung dan bersongkok tinggi, dengan lagak bongkak dan sembang sampai ke langit duduk melepak bersidai, berkenal-kenal dengan 'orang' masing-masing. aku observed, sebab aku duduk sekejap mengepam rokok yang disedekahkan oleh mereka. cerita projek apa, malam ini lepak mana, sapa open table, dinner dengan datuk mana tak habis-habis berpusing-pusing di bibir mereka. mendengarkan sahaja sudah bisa muntah. tumit tidak jejak bumi ke puak-puak ni?
entah mengapa, aku itulah scene of life yang paling poyo aku pernah jumpa. meninggi diri tak tentu pasal. mengepak-ngepak tak tentu hala.
apabila puas memerhati, aku mengorak langkah pulang. dalam aku mundar-mandir di depan tingkat bawah pwtc, berhadapan dengan hentian putra, aku melihat sekumpulan makcik-makcik dan pakcik-pakcik yang aku pasti dari luar kuala lumpur, menutur loghat kedaerahan yang pekat, duduk berhimpun di bawah panahan terik matahari, menunggu bas barangkali untuk pulang ke kampung atau ke felda, entahlah. ini hari terakhir persidangan, sang presiden pun telah usai memberi amanat dan pesanan keramat.
dua orang pakcik separuh abad duduk bertenggong minum air kelapa menghilangkan dahaga. di wajah mereka berdua terpancar sokongan yang ikhlas kepada pimpinan. dari cakap-cakap mereka berdua, melahirkan rasa syukur dan kagum dan sedikit jakun dengan sekeliling yang amat baru untuk mereka berdua, yang pantas sekali membuatkan hatiku terharu.
ini orang tua, mengundi di saluran 1, yang pasti sudah lama berjuang untuk umno, setiap patah katanya merendah diri, bicaranya bergetar dengan keikhlasan, semangat perjuangannya seakan-akan disuntik kekuatan baru.
pakcik, bila pm cakap orang yang panjat pokok kelapa cacak bendera paling tinggi itulah perjuang sebenar umno, pakcik dah bangga dah, katanya.
entah mengapa, kata-kata itu masih tersemat kemas di benakku. dan kata-kata itulah juga mengharukan hatiku sehingga ke hari ini. orang berjuang ikhlas, tidakkan kalah.
No comments:
Post a Comment